Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengambil langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan dengan pengamal media melalui majlis makan petang eksklusif, Train & Tea: Media with KTMB, yang berlangsung di Hotel Melia, Kuala Lumpur pada hari ini. Majlis ini dihadiri oleh lebih daripada 50 wakil media dari pelbagai agensi ternama, termasuk RTM, Berita Harian, Bernama, TV3, Kosmo, Harian Metro, New Straits Times dan banyak lagi.
Majlis ini diadakan untuk menghargai sokongan dan komitmen yang telah diberikan oleh media sepanjang perjalanan KTMB dalam menghadapi cabaran dan perubahan di industri rel. KTMB turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan semula Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB untuk kali yang keempat.

Dalam ucapan beliau, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin menekankan betapa pentingnya kerjasama antara KTMB dan media dalam memastikan kejayaan dan ketahanan KTMB dalam industri pengangkutan rel. Beliau mengucapkan terima kasih kepada media yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi serta liputan yang memberi impak besar terhadap imej dan perkembangan KTMB.
“Petang ini menandakan detik penting dalam mengiktiraf peranan media. Kami amat berterima kasih atas sokongan yang telah diberikan dan berharap agar kerjasama ini akan terus berkembang, dengan liputan yang berwawasan dan semangat perkongsian yang lebih erat,” ujar beliau.
Melalui hubungan yang telah terjalin selama ini, KTMB berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dengan media sebagai saluran utama untuk menyampaikan maklumat terkini serta mempromosikan inisiatif dan perkembangan KTMB di masa depan. Dengan kerjasama ini, KTMB berhasrat untuk terus berkembang sebagai pengendali pengangkutan rel yang utama di Malaysia.
“Semoga kita dapat meneruskan perkongsian ini, berkongsi naratif yang menarik dan mempromosikan pertumbuhan serta kejayaan acara perniagaan bersama-sama,” tambah Datuk Mohd Rani.
Sebagai sebahagian daripada penghargaan kepada media, majlis makan petang tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya adalah Cabutan Bertuah, Spin the Wheel dan Peragaan Pakaian Terbaik. Pemenang bagi setiap kategori berpeluang membawa pulang hadiah menarik seperti barangan elektronik, tiket MySawasdee, hamper dan produk-produk keluaran Rail Boutique KTMB.

KTMB berharap melalui acara seperti ini, hubungan yang lebih erat dapat terus dibina, serta membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama dalam mempromosikan perkhidmatan KTMB di seluruh negara. Kejayaan acara ini adalah bukti kukuh betapa pentingnya peranan media dalam membantu memperkenalkan serta menyebarluaskan informasi mengenai perkembangan KTMB kepada masyarakat.
Dengan langkah proaktif ini, KTMB terus membuktikan komitmennya bukan sahaja dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan rel yang efisien, tetapi juga dalam memastikan hubungan yang kuat dan saling menguntungkan dengan pihak media.