Kota Ini Tak Sama Tanpamu: Harmoni Nusantara

Dalam semangat meraikan muzik tanpa sempadan, tiga bintang muda Asia Tenggara – Nadhif Basalamah (Indonesia), Aisha Retno (Malaysia) dan Aziz Harun (Brunei) – tampil dengan kolaborasi istimewa melalui single terbaru berjudul “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”. Lagu penuh emosi ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

Dicipta bersama pada tahun 2024, lagu ini lahir secara spontan ketika Nadhif berkunjung ke Kuala Lumpur sempena Aidiladha. Tanpa perancangan, beliau bertemu Aisha dan Aziz di studio Faithful Music, lalu tercetuslah idea untuk menulis lagu tersebut. Beberapa bulan kemudian, Aziz dan Aisha ke Bali untuk bertemu penerbit terkenal Indonesia, Petra Sihombing, yang turut menyempurnakan rakaman akhir.

Lirik “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” membawa mesej bahawa sebuah kota tidak hanya sekadar tempat, tetapi juga cerminan emosi dan kenangan bersama insan yang kita sayangi. Kota boleh terasa suram atau berwarna-warni, bergantung pada siapa yang menemani kita. Ia mengingatkan bahawa “rumah” sebenarnya bukanlah lokasi, tetapi tentang siapa yang ada di sisi kita.

Kisah Di Sebalik Lagu

  • Aziz Harun berkata lagu ini mengingatkannya pada kenangan manis bersama rakan-rakan di Kuala Lumpur. Proses rakaman di Bali bersama Petra juga meninggalkan memori indah, terutama ketika Petra hampir siap menggubah muzik hanya selepas mereka keluar sebentar berehat.
  • Nadhif Basalamah berkongsi bahawa lagu ini bermula dengan santai tanpa disangka akan berkembang menjadi karya besar yang menghubungkan tiga negara.
  • Aisha Retno pula menambah, walaupun pertama kali berkolaborasi, mereka terasa seperti kawan lama. Baginya, lirik lagu ini memberi gambaran rasa manis dan sedikit nakal ketika cuba memujuk seseorang untuk terus meluangkan masa di kota itu.

Sentuhan Petra Sihombing

Petra Sihombing, penerbit berpengaruh yang pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Raisa, Isyana Sarasvati dan Bernadya, berjaya menyuntik sentuhan pop moden dan penuh emosi. Hasilnya, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” menjadi lagu pop segar dengan harmoni vokal lembut dan produksi berkualiti tinggi.

Kini, peminat boleh menikmati lagu ini di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan semua platform digital.

Tonton lirik video rasmi di sini : Youtube

-Tehtariktimes