Kumpulan indie funk pop, Late Night Frequency (LNF), mengumumkan pelancaran lagu dan muzik video terbaru mereka bertajuk “BPD” atau “Borderline Personality Disorder” sebagai sebahagian daripada kempen kesihatan mental yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang gangguan mental. Lagu ini juga merupakan pengenalan kepada album penuh mereka yang bakal dilancarkan hujung tahun ini.
“BPD” merupakan satu langkah penting dalam usaha LNF untuk membuka perbincangan mengenai masalah kesihatan mental yang semakin meningkat, terutamanya di kalangan golongan remaja dan dewasa muda. Lirik lagu ini ditulis oleh vokalis utama LNF, Dr. Moja Salim, yang juga seorang doktor perubatan bertauliah dan pernah bekerja di Jabatan Psikiatri, Hospital Serdang. Dengan latar belakangnya dalam bidang perubatan, Dr. Moja menterjemahkan pengalaman dan pengetahuan tentang Borderline Personality Disorder (BPD) ke dalam bentuk muzik, bertujuan untuk membantu masyarakat memahami lebih lanjut tentang gangguan mental ini.

Lagu ini juga merupakan hasil kerjasama antara LNF dan beberapa individu berpengalaman dalam industri muzik, termasuk Taja Meet Uncle Hussain, Hazeeq Dataran Kertas, Fai Fugo, serta The Amethyst String Quartet yang menyumbang kepada rakaman muzik. Takahara Suiko dan Azran Hamzah turut tampil sebagai suara latar untuk menambah dimensi pada lagu ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, masalah kesihatan mental menunjukkan peningkatan yang membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan muda. 14% daripada kes mencederakan diri sendiri yang dimasukkan ke hospital menunjukkan tanda-tanda BPD. Melalui lagu “BPD”, LNF berharap dapat membuka ruang perbincangan lebih lanjut mengenai kesihatan mental dan mengurangkan stigma terhadap individu yang menghadapi gangguan ini.
Sebagai tambahan kepada pelancaran lagu, LNF turut menganjurkan beberapa sesi wawancara bersama pakar psikiatri, Dr. Aida Harlina dari Hospital Cyberjaya, yang disiarkan melalui media sosial mereka. Sesi ini bertujuan untuk memberikan maklumat lebih lanjut mengenai BPD dan gangguan mental lain serta memberi panduan kepada individu yang memerlukan bantuan profesional.

Pada 1 Februari 2025, LNF turut melancarkan muzik video rasmi “BPD” di Jupiter Station SS15, Subang Jaya, sebagai sebahagian daripada kempen ‘Borderline Personality Disorder Awareness Through Art’. Acara pelancaran itu turut menyaksikan persembahan oleh penulis/pelukis K.W., Dataran Kertas, dan Insiden Ruang Legar, selain perkongsian mengenai ‘Therapy’ oleh Puan Mashitah, Psikologi Klinikal di Hospital Cyberjaya. Muzik video yang diarahkan oleh Hashra Shamsudin ini adalah hasil kerjasama antara Late Night Music, Haru Biru Films, Frames Matter, dan Juicy Brain. Muzik video tersebut kini boleh ditonton di saluran YouTube Late Night Frequency.
Melalui usaha ini, LNF berharap dapat memainkan peranan penting dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap kesihatan mental dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Dengan pendekatan seni dan muzik, LNF ingin mewujudkan ruang yang lebih terbuka untuk perbincangan mengenai isu-isu penting ini, sambil memberikan inspirasi kepada lebih ramai individu untuk mencari bantuan dan sokongan.
Artist: Late Night Frequency
Composer: Dr. Moja Salim & Ringoedahar
Author: Dr. Moja Salim
Mixing/Mastering: Taja Mustapha
Producer/Co-Producers: Taja Mustapha, Dr. Moja Salim, Hazeeq Azhar