Filem live-action paling dinanti-nantikan, Keluang Man, bakal menemui penonton di 154 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 29 Mei ini. Filem ini bukan sekadar adaptasi biasa, tetapi membawa nafas segar kepada superhero original pertama Malaysia dengan elemen nostalgia, adrenalin, dan humor yang menghiburkan.
Watak utama, Borhan, atau lebih dikenali sebagai Keluang Man, membawa karakter yang ‘gila-gila’, santai, dan penuh dengan kejutan jenaka. Jalan cerita berdurasi 132 minit ini memuatkan babak aksi mendebarkan, emosi mendalam serta elemen tempatan yang memberi identiti unik buat filem ini. Ini sekaligus memperkukuh semangat kebanggaan terhadap ikon superhero Malaysia.
Keluang Man menandakan permulaan baharu bagi Astro Shaw Cinematic Universe dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, dan ramai lagi. Turut hadir kemunculan istimewa daripada nama-nama terkenal seperti Mierul Aiman, Wahid Senario, Delimawati, dan lain-lain.
Filem arahan Anwari Ashraf, pengarah dan penulis skrip yang juga dikenali melalui trilogi Polis Evo dan drama popular Projek: High Council, adalah karya pertamanya sebagai pengarah filem. Anwari menyifatkan filem ini sebagai “surat cinta kepada generasi 90an” dan berharap ia dapat menghidupkan kembali semangat superhero ini untuk semua lapisan usia.
Plot filem mengisahkan Borhan, seorang pesakit di Hospital Tumpoi yang menghidap ‘Dissociative Schizophrenia’. Cerita berkembang apabila Borhan mula membentuk identiti barunya sebagai Keluang Man, setelah dihantui sejarah lamanya dan niat membalas dendam yang terbentuk secara tidak sengaja.
Salah satu tarikan filem ini adalah pemilihan lagu-lagu ‘throwback’ era 2000-an, termasuk lagu tema asal Keluang Man yang dihidupkan semula oleh Krisya dan S.O.G., serta lagu-lagu popular lain seperti Tragedi Oktober dan Sha Na Na. Ini menjadikan pengalaman menonton lebih hidup dan penuh nostalgia, cukup kuat untuk membuatkan penonton turut menyanyi bersama.
Tiket untuk filem Keluang Man sudah mula dijual sejak 21 Mei dan bagi yang mahu jadi antara yang pertama menonton, boleh hadir ke sneak preview pada 28 Mei. Jangan lepaskan peluang menyaksikan siri jelajah filem ini yang akan berlangsung di Johor, Melaka, Perak, Penang, Kedah, Terengganu, Pahang dan Klang Valley bermula akhir Mei hingga Jun.
Selain itu, pelbagai kolaborasi kreatif turut dilakukan seperti Wonda Kopi Kluang, Keluang Man WONDA Fun Run, dan Koleksi Premium Keluang Man oleh Royal Selangor, menambah lagi keseronokan penggemar superhero tempatan.
Ikuti perkembangan dan kongsi pengalaman anda di platform media sosial menggunakan hashtag #KeluangMan #KeluangManMovie melalui akaun rasmi Astro Shaw dan Astro Gempak di TikTok, Instagram, X dan Facebook.