Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2025/2026 yang berlangsung di Chang Arena, Buriram.
Skuad Harimau Selatan bermula garang apabila berjaya menjaringkan gol seawal 24 saat menerusi Joao Figueiredo, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mengesan bola terkena tangan dalam proses serangan. Tidak lama kemudian, giliran Buriram pula berdukacita apabila gol Guilherme Bessoli pada minit kelapan dibatalkan kerana ofsaid.
JDT akhirnya mendahului pada minit ke-28 hasil rembatan Antonio Glauder selepas situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti. Kedudukan itu kekal hingga tamat babak pertama. Namun, tuan rumah bangkit selepas rehat dengan dua gol pantas. Suphanat Mueanta menyamakan kedudukan pada minit ke-50 sebelum Robert Zulj menambah jaringan empat minit kemudian.
Figueiredo hampir mengikat semula kedudukan pada minit ke-81, tetapi tandukannya ditepis cemerlang oleh penjaga gol Buriram, Neil Etheridge, sekaligus memastikan kemenangan 2-1 milik pasukan tuan rumah.