JDT Belasah Penang 6-0, Kukuhkan Cengkaman Di Persada Liga

Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan dominasi mereka apabila membelasah Penang FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Skuad bimbingan Xisco Munoz bermula garang dengan gol pertama menerusi Jairo Da Silva pada minit ke-9 hasil hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi. Arif sendiri meledak dua gol pada minit ke-18 dan 31, sebelum Joao Figueiredo menambah gol keempat dengan rembatan jauh (minit ke-35). Jon Irazabal memastikan separuh masa pertama berakhir dengan jaringan 5-0 hasil tandukan (45+1’).

Bersambung babak kedua, Antonio Glauder melengkapkan pesta gol pada minit ke-52. Penang hampir mencatat gol saguhati melalui Dylan Wenzel-Halls, tetapi jaringannya dibatalkan selepas semakan VAR.

Dengan kemenangan ini, JDT terus kekal di tangga teratas liga, manakala Penang masih bergelut di kedudukan ke-11 daripada 13 pasukan.