Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) tampil menyatakan pendirian tegas terhadap penyalahgunaan nama dan jenama kumpulan legenda rock tempatan, XPDC, oleh pihak yang tidak mempunyai kebenaran rasmi. Perkara ini berlaku apabila sebuah kumpulan memperkenalkan diri sebagai “Real XPDC” dan menjalankan aktiviti persembahan serta promosi komersial menggunakan nama tersebut tanpa pengesahan daripada pemilik hak yang sah. Situasi ini menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat dan pihak penganjur, sekali gus memberi kesan negatif terhadap integriti industri muzik tanah air.
XPDC bukan sekadar sebuah nama, tetapi satu jenama ikonik yang telah lama berakar dalam sejarah muzik Malaysia. Nama dan logo “XPDC” merupakan cap dagangan berdaftar yang dimiliki sepenuhnya oleh Life Records. Ia dilindungi oleh undang-undang dan mempunyai nilai komersial serta reputasi yang kukuh sejak awal 1990-an. Setakat ini, hanya dua kumpulan yang diiktiraf secara rasmi untuk menggunakan nama XPDC, iaitu XPDC (Kita Pengyu) dan XPDC (Militia), yang kedua-duanya mempunyai anggota asal dan bernaung di bawah Life Records.
Namun, kemunculan kumpulan yang mendakwa sebagai “Real XPDC” telah mencetuskan kekeliruan apabila mereka giat membuat persembahan dan mempromosikan acara menggunakan nama XPDC sebagai tarikan utama. Walaupun istilah “Real” digunakan, penggunaannya tetap merujuk kepada nama asal yang mempunyai hak eksklusif, sekali gus berpotensi melanggar undang-undang cap dagangan. KARYAWAN menyifatkan tindakan ini sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh disabitkan di sisi undang-undang.

KARYAWAN mengakui bahawa kumpulan tribute adalah sesuatu yang lumrah dalam dunia seni, namun pendekatan yang diambil mestilah beretika dan tidak mengelirukan masyarakat. Penggunaan nama alternatif yang tidak mencetuskan kekeliruan serta menjaga hubungan baik dengan pemilik jenama asal sepatutnya menjadi amalan dalam menjunjung etika dan profesionalisme seni.
Sebagai langkah susulan, KARYAWAN akan membawa isu ini kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) bagi menyemak kesahihan pendaftaran nama “Real XPDC”. Sekiranya wujud sebarang pelanggaran terhadap hak cap dagangan, tindakan sewajarnya akan disokong untuk melindungi hak pemilik asal.
KARYAWAN menyeru semua penggiat seni, peminat serta penganjur agar terus memelihara hak harta intelek dan menghormati legasi seni yang telah terbina selama ini. Pematuhan terhadap undang-undang dan prinsip etika bukan sahaja menjamin kestabilan industri hiburan, tetapi turut memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap nilai seni tempatan. – Tehtariktimes