Inovasi Hijau Perkasakan Industri F&B di Pusat Konvensyen
Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) menjadi tumpuan industri makanan dan hospitaliti serantau apabila pameran Taste & Trade 360 (TT360) 2026 rasmi membuka tirainya pada 5 November 2026. Majlis perasmian berprestij ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad bin Alamin, yang turut mencatatkan sejarah menerusi pelancaran trak makanan elektrik (EV) pertama di Malaysia.
Inisiatif inovatif hasil kolaborasi X-Miles bersama jenama automotif Chery ini menggabungkan konsep mobiliti elektrik sepenuhnya dengan dapur komersial serba lengkap tanpa kebergantungan kepada penjana kuasa bahan api konvensional.

Operasi Mesra Alam Menerusi Model Trak Makanan Elektrik
Kehadiran trak makanan EV berkonsepkan sedia-untuk-dikendali ini menawarkan solusi perniagaan yang berpotensi lebih menjimatkan kos operasi serta mesra alam kepada pengendali F&B tempatan.
Menghimpunkan kira-kira 260 reruai pameran dari dalam dan luar negara, program tiga hari ini bermatlamat untuk menyediakan platform ampuh buat usahawan meneroka penyelesaian perniagaan moden. Pameran yang berlangsung dari 5 hingga 7 November di Dewan 1 dan 2 KLCC ini jelas membuka lembaran baharu dalam landskap keusahawanan negara.















