Industri Indie Ujian Demi Ujian: Festival Aku. Muzik & Kamu 2025 Ditunda ke November

Harapan untuk melihat festival muzik alternatif terbesar tempatan berlangsung pada Ogos ini terpaksa ditangguhkan. Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 atau AMK Indie 2025 secara rasmi akan dianjurkan pada 29 hingga 30 November 2025 di Sepang International Circuit, susulan sambutan yang masih belum cukup kuat daripada peminat tempatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur, Westzone Entertainment, keputusan ini bukan dibuat atas dasar kegagalan, tetapi sebagai strategi memberi lebih masa kepada festival ini untuk berkembang dengan cara yang lebih tersusun dan bermakna.

“Festival ini diwujudkan untuk meraikan muzik kita sendiri dengan muzik alternatif, muzik lokal, muzik yang jujur. Tapi sambutan yang kami harapkan masih belum muncul. Tanpa sokongan dari khalayak, agak mustahil untuk kami teruskan festival ini mengikut visi dan standard yang kami impikan,” kata Encik Aiman, Pengarah Westzone Entertainment.

Beliau turut menjelaskan bahawa penangguhan ini tidak bermakna mereka berputus asa. Malah, ia menjadi satu refleksi terhadap betapa sukarnya mempertahankan ruang muzik tempatan ketika berhadapan dengan arus konsert antarabangsa dan kekangan platform promosi yang terbatas.

“Bila kita tengok balik realiti yang ada ramai yang masih tak tahu tentang festival ini. Ramai yang minat muzik tempatan, tapi belum nampak sebab, belum dapat ajakan, belum terasa keperluannya. Jadi kami putuskan, daripada kami teruskan secara tergesa, lebih baik beri masa, kukuhkan strategi dan cari komuniti yang benar-benar ingin bersama,” tambahnya.

Walaupun ditunda, barisan 21 band indie dari seluruh Malaysia yang dijadualkan membuat persembahan akan kekal seperti asal. Harga tiket juga tidak berubah, bermula dari RM80 – satu usaha yang dilihat bukan sekadar memastikan akses kepada festival, tetapi juga sebagai simbol komitmen terhadap sokongan terhadap industri muzik alternatif.

Penangguhan ini turut mendedahkan satu persoalan besar: sejauh mana masyarakat benar-benar menyokong muzik lokal? Kesan dari kelewatan seperti ini bukan sahaja ditanggung oleh penganjur, tetapi turut menjejaskan seniman, kru produksi, penyedia tempat dan seluruh ekosistem kreatif di belakang tabir.

Namun penganjur tetap yakin bahawa komuniti muzik tempatan masih wujud, masih bernyawa, dan masih menunggu untuk diaktifkan. Mereka menyeru agar penonton yang benar-benar percaya pada potensi muzik kita sendiri tampil memberi sokongan bukan hanya di media sosial, tetapi dengan membeli tiket dan hadir ke lokasi.

Satu sesi soal jawab dan penjelasan lanjut akan diadakan secara Live di TikTok, Instagram dan Facebook pada Selasa, 15 Julai 2025 jam 8 malam, melalui akaun rasmi @coactionmagic. Semua pembeli tiket, peminat dan rakan media dijemput hadir bagi memahami dengan lebih mendalam misi di sebalik penangguhan ini.

Akhirnya, hidup atau matinya festival seperti AMK Indie 2025 bergantung sepenuhnya kepada siapa yang sanggup berdiri bersamanya bukan bila ia sudah berjaya, tetapi ketika ia masih berjuang untuk diterima. – Tehtariktimes