Ijmal Cinta Ramadan 2.0: Perpaduan Ibadah dan Hiburan

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Menjelang bulan suci Ramadan, banyak program berbentuk dakwah dan kebajikan dianjurkan bagi meningkatkan keinsafan dan amalan baik. Salah satu acara yang dinantikan ialah Ijmal Cinta Ramadan 2.0, anjuran HS Event & Ent Sdn Bhd, yang akan berlangsung pada 21 Mac di Saloma, Kuala Lumpur.

Acara istimewa ini bakal menyatukan unsur hiburan dan spiritual, dengan menampilkan barisan artis terkenal seperti Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays, dan Zamani Slam. Program ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa mesej mendalam bersempena Ramadan.

Menurut penganjur, Datin Hajjah Ismariza dan Mubarak Akhtar, mereka mahu memastikan setiap aspek acara mencerminkan keindahan Ramadan. “Selain hiburan, kami ingin memberikan pengalaman yang menguatkan ikatan dengan Allah SWT,” kata mereka.

Aktiviti yang dirancang termasuk tadarus al-Quran dan sesi tazkirah, diikuti dengan berbuka puasa berjemaah serta pemberian duit raya kepada anak-anak yatim. Acara ini turut memberi ruang kepada hadirin untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih sebelum konsert bermula.

Lebih bermakna, pihak penganjur juga tidak melupakan insan seni yang kurang bernasib baik. Seramai 10 artis yang berdepan kesukaran dari segi kesihatan dan kewangan akan menerima sumbangan, bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Mubarak percaya, kehadiran barisan artis hebat ini akan menarik perhatian ramai. “Mereka bukan sahaja mempunyai peminat setia, tetapi juga jiwa besar untuk terlibat dalam program penuh makna ini,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyertai program ini dinasihatkan mendapatkan tiket awal kerana tempat adalah terhad.