Dalam usaha menyemarakkan semangat membara bukan sahaja kepada pemain tetapi juga penyokong setia Harimau Malaya, terjalin sebuah kerjasama erat antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menghasilkan single rasmi skuad kebangsaan berjudul “Demi Lencana Di Dada”.
Menampilkan kumpulan Hujan, antara band gergasi muzik tanah air, lagu ini hadir sebagai naskhah istimewa yang dijangka mampu membangkitkan semangat juang dan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap pasukan bola sepak negara. Dilancarkan pada 5 September 2025, “Demi Lencana Di Dada” bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya dijadikan lagu rasmi Harimau Malaya untuk mengiringi perjuangan skuad kebangsaan di pentas bola sepak antarabangsa.
Menurut vokalis Hujan, Noh Salleh, projek ini mula dibangunkan sejak Februari 2025 bagi memastikan kualiti muzik, lirik, dan mesej yang disampaikan benar-benar menyentuh hati. “Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga bila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua. Bila kami menyanyikan lagu ini, ia bukan sekadar melodi, tapi semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” ujarnya.
Sebagai tanda pelancaran rasmi, lagu ini diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September, sempena Perlawanan Persahabatan antara Malaysia dan Singapura. Ia turut akan dimainkan dalam aksi seterusnya antara Malaysia dan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September 2025.

Walaupun teruja dengan peluang besar ini, Noh mengakui terdapat cabaran besar dalam proses rakaman. “Bukan mudah mahu menyampaikan rasa semangat dan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Lagu ini simbol perjuangan, pengorbanan, dan harapan. Setiap lirik serta nada perlu dibawa dengan jujur supaya mampu membakar semangat pemain dan penyokong sama ada di stadium mahupun di rumah,” katanya lagi.
Muzik, seperti yang kita tahu, merupakan elemen penting dalam menghidupkan suasana serta semangat kesukanan. Ia bukan sahaja menghubungkan generasi ke generasi, malah menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Dengan mesej yang penuh patriotisme, “Demi Lencana Di Dada” diyakini dapat menyatukan rakyat sambil memberi motivasi kepada para pemain untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas bola sepak antarabangsa.
“Harapan kami besar agar bola sepak Malaysia terus melakar pencapaian yang membanggakan, bukan sahaja di peringkat antarabangsa, tetapi juga sebagai simbol perpaduan rakyat. Bola sepak ada kuasa luar biasa untuk menyatukan kita semua, dan melalui semangat Harimau Malaya, kita percaya Malaysia mampu mencipta sejarah baharu,” tambah Noh mewakili rakan-rakan Hujan.
Sebagai rekod, “Demi Lencana Di Dada” merupakan lagu rasmi pertama Harimau Malaya hasil usaha bersama FAM dan Warner Music Malaysia. Lagu ini boleh distrim di semua platform digital bermula 5 September, manakala video lirik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube WMM.