Penantian bakal berakhir apabila HONOR mengesahkan bahawa spesifikasi penuh serta harga rasmi telefon pintar ultra-tahan lasak terbaharu, HONOR X9d 5G, akan diumumkan pada 24 September 2025. Sebagai kesinambungan kepada model pertengahan terlaris di Malaysia, versi baharu ini hadir dengan peningkatan besar pada keteguhan struktur, skrin lebih lasak, rintangan terhadap air dan haba, serta jangka hayat bateri yang mengagumkan.
HONOR X9d 5G menjadi penanda aras baharu dalam industri apabila memperkenalkan tiga inovasi ketahanan utama yang pertama dalam kelasnya. Peranti ini menerima Pensijilan Prestasi Premium Rintangan Tiga Tahap SGS, mengesahkan keupayaannya menahan hentakan, calar, haba melampau serta air. Buat pertama kalinya juga, sebuah telefon pintar kelas pertengahan menerima penarafan IP69K, tahap tertinggi untuk perlindungan daripada air, wap, dan habuk bertekanan tinggi.
Dari segi ketahanan, HONOR X9d 5G telah melalui ujian ekstrem termasuk penembakan plasma dan paku tembak angin industri. Walaupun ditembak dengan tekanan tinggi, skrin peranti kekal utuh tanpa sebarang keretakan jauh mengatasi tin minuman dan kaca waja yang digunakan sebagai perbandingan. Demonstrasi lain turut membuktikan keupayaan peranti beroperasi walaupun selepas diuji dalam air, stim panas, serta campuran tanah dan lumpur.

Satu lagi tarikan utama ialah bateri silikon-karbon 8,300mAh, kapasiti terbesar dalam industri setakat ini. Dengan teknologi pengecasan berbalik, HONOR X9d 5G bukan sahaja mampu bertahan lebih lama berbanding pesaing, malah berupaya menyalakan papan LED neon untuk tempoh yang panjang.
HONOR menegaskan bahawa X9d 5G direka untuk menempuh keadaan dunia sebenar yang paling mencabar daripada hentakan tidak disengajakan, pendedahan kepada suhu ekstrem, hinggalah persekitaran basah dan berhabuk. Ia mencerminkan komitmen syarikat untuk menghasilkan telefon pintar yang tahan lama, boleh dipercayai, dan bersedia menemani pengguna dalam apa jua situasi.
Pelancaran rasmi HONOR X9d 5G di Malaysia akan berlangsung pada 24 September 2025. Orang ramai boleh mengikuti perkembangan lanjut melalui laman rasmi HONOR Malaysia di Facebook atau layari www.honor.com/my.