Jenama teknologi terkemuka, HONOR, mengumumkan bahawa mereka akan menyediakan tujuh tahun kemas kini sistem operasi Android dan keselamatan untuk siri flagship HONOR Magic, bermula dengan HONOR Magic7 Pro di pasaran Kesatuan Eropah. Inisiatif ini juga akan diperkenalkan secara berperingkat ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.
Sebagai sebahagian daripada HONOR ALPHA PLAN, langkah ini mencerminkan komitmen HONOR terhadap kepuasan pelanggan serta menempatkan HONOR sebagai salah satu daripada tiga jenama utama dalam industri yang menawarkan sokongan jangka panjang ini. Dengan inisiatif ini, HONOR berharap dapat menggalakkan lebih banyak syarikat teknologi untuk mengambil pendekatan yang sama, membolehkan pengguna menikmati inovasi terkini dan meningkatkan keselamatan telefon pintar di peringkat global.
Dalam ucapan di Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2025, James Li, Ketua Pegawai Eksekutif HONOR, menegaskan bahawa strategi HONOR ALPHA PLAN berteraskan pendekatan yang mengutamakan pengguna.
“Matlamat kami adalah untuk menghasilkan peranti dan perkhidmatan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna, bahkan melebihi jangkaan mereka. Oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk menawarkan tujuh tahun kemas kini sistem operasi Android dan keselamatan untuk siri HONOR Magic, termasuk telefon flagship berbentuk bar dan boleh lipat kami, dimulakan dengan HONOR Magic7 Pro. Kami amat gembira dapat menyediakan sokongan ini kepada pelanggan kami,” katanya.
Selain memanjangkan jangka hayat peranti, sokongan lanjutan ini turut mengurangkan sisa elektronik, sejajar dengan usaha global dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar. Pengguna juga akan terus menikmati prestasi peranti yang optimum serta akses kepada teknologi AI terkini sepanjang tempoh sokongan.
HONOR turut merancang untuk meluaskan inisiatif ini ke lebih banyak model flagship mereka pada masa akan datang. Dengan jaminan sokongan perisian yang lebih panjang, pengguna dapat menggunakan peranti mereka dengan keyakinan tanpa perlu risau tentang keselamatan dan ketinggalan dalam inovasi teknologi.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini HONOR, ikuti laman rasmi Facebook HONOR Malaysia dan layari laman sesawang rasmi di https://www.honor.com/my/