Alunan suaranya pernah membelai jutaan jiwa. Lagu-lagu ciptaannya puitis, jujur dan penuh makna terus hidup biarpun jasadnya telah tiada. Legasi seni Glenn Fredly masih mekar dalam hati peminat yang menemukan harapan, cinta dan pengubat luka melalui bait-bait lagunya.
Buktinya, konsert Glenn Fredly 25 Years of Music: Holographic Performance yang berlangsung dua tahun lalu di Beach City International Stadium, Jakarta menerima sambutan luar biasa. Ribuan peminat hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi sebagai ritual untuk merayakan kenangan, menyembuhkan rindu dan menghargai warisan seni yang ditinggalkan. Kini, pengalaman penuh emosi itu bakal menjejakkan kaki ke Malaysia. “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia” akan berlangsung pada 18 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur, dibawakan oleh Premier Live Productions.

Konsert ini menggabungkan teknologi canggih dan seni muzik dalam satu persembahan holografik yang bakal ‘menghidupkan’ semula kehadiran Glenn Fredly di atas pentas. Sebuah malam yang mendalam, membawakan karya-karya abadi beliau seperti “Kasih Putih”, “Januari”, “Akhir Cerita Cinta”, “Sedih Tak Berujung”, dan “Terserah” yang menyentuh jiwa dan menggamit emosi.
“Ini bukan sekadar sebuah pertunjukan. Ia adalah ruang suci untuk mengenang, merenung dan merayakan nilai-nilai yang Glenn tinggalkan keberagaman, kedamaian dan kemanusiaan,” ujar Ibram Putra, penganjur utama konsert ini.
Lebih istimewa, konsert ini turut menampilkan Mutia Ayu (isteri Glenn Fredly), Ryan D’Masiv, serta bintang tempatan Noh Salleh dan Nadira Adnan yang akan berpadu suara bersama The Bakuucakar, kumpulan pemuzik pengiring asal Glenn Fredly. Sebuah gabungan penuh cinta dan harmoni dalam penghormatan tulus buat legenda seni ini.
Menurut Anuar Osman daripada Matahati Sdn Bhd selaku rakan promotor, “Peminat di Malaysia sudah lama menantikan saat ini. Inilah masanya untuk kita semua memenuhi rindu terhadap karya-karya Glenn Fredly dalam suasana penuh emosi dan kenangan.”
Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini akan menjadi satu detik bersejarah dalam landskap muzik Asia Tenggara membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi jambatan antara kenangan dan masa kini.
Tiket bermula dari RM188 dan boleh didapati di www.ticket2u.com. Ikuti perkembangan lanjut di @premierlivepro | @bumientertainment | @musikbagusrecords | @glennfredlymusik
