Tidak mudah bagi penyanyi muda Rika Riana untuk menjiwai sepenuhnya lagu Harus Begini Jadinya, yang menuntut penghayatan mendalam dan emosi yang tulus sepanjang proses rakaman.
Menurut penyanyi berusia 25 tahun ini, naskhah ciptaan penuh oleh Ajai itu merupakan cerminan kepada perjalanan emosinya sendiri, khususnya dalam berdepan rasa kehilangan dan keikhlasan melepaskan sesuatu yang bukan milik kita.
Benar, Harus Begini Jadinya terletak pada kekuatan emosi yang mendalam berlandaskan kepada kejujuran bait kata-kata yang tersemat di dalamnya.
Lagu ini sangat dekat di hati sebab ia menggambarkan perasaan reda dengan sebuah kehilangan. Meskipun kita mempertahankan sesuatu, jika bukan milik kita, ia harus dilepaskan, luah Rika penuh makna.
Anak kelahiran Keningau, Sabah ini berkata, kekuatan jalan cerita dan mesej lagu itu membuatkannya tidak teragak-agak untuk merakamkannya, kerana percaya ramai pendengar boleh berkait dengan kisah yang dipersembahkan.
Lebih bermakna, impiannya untuk bekerjasama dengan Ajai yang banyak mempengaruhi perjalanan seninya sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan menerusi lagu ini.
Abang Ajai sangat teliti dan tahu bagaimana mahu mencungkil emosi yang tepat untuk mengalunkan lirik. Sepanjang sesi rakaman, saya belajar banyak tentang penghayatan dan juga seni dalam penyampaian.
Beliau profesional dan memudahkan banyak perkara sepanjang kami bekerjasama. Itu kenangan paling manis untuk saya, kata bekas peserta Mentor Millenia 2019 ini lagi.
Berkenaan muzik video (MV), proses penggambaran turut menemui cabaran apabila lokasi asal terpaksa diubah akibat faktor cuaca.
Walaupun muzik video ini hanya berlatar di bilik dan ruang tamu, ia membawa naratif visual yang senyap tapi mendalam. Setiap babak dirakam dengan elemen kesederhanaan untuk menggambarkan rasa kekosongan dan proses penerimaan selepas kehilangan, tambah Rika atau nama sebenarnya Erika Rianty Anthony.
Menutup bicara, Rika menyatakan harapan agar tahun 2025 menjadi permulaan baru yang lebih cerah untuk perjalanan seninya, dan lagu Harus Begini Jadinya mampu membawa tuah yang diimpikan.
Sebagai makluman, Harus Begini Jadinya diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music. Lagu ini boleh didengari di semua platform digital mulai 18 April, manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.