Dua artis terkemuka dari Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera Zaini, baru-baru ini mencipta sejarah di pentas Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) yang berlangsung pada 29 dan 30 November 2024. Persembahan bertenaga dan penuh emosi mereka dihadapan ribuan penonton di Jakarta, Indonesia, telah mendapat sambutan luar biasa dan memukau lebih 500 juta penonton dari seluruh Asia, menjadikan penampilan mereka satu kenangan manis yang akan diingati sepanjang masa.
Pada awalnya, Hael dan Nadeera hanya dijadualkan untuk menyanyikan dua buah lagu sahaja. Namun, selepas melihat persembahan memukau mereka pada malam pertama, pihak penganjur Anugerah Televisyen Asia dan saluran televisyen Indosiar segera menghubungi Rocketfuel Entertainment dan meminta agar kedua-dua bintang ini menambah satu lagi persembahan pada malam kedua acara. Permintaan tersebut segera dipenuhi, dengan Hael Husaini memilih untuk menyanyikan lagu-lagu popularnya, seperti “Kelentang Kelentong” dan “Bukan Cinta Biasa,” manakala Nadeera pula menghidangkan penonton dengan lagu klasik seperti “Nirmala” dan lagu hit terbarunya, “Bukan Lagi Kita.”
Hael Husaini, dengan suara emas dan penampilan yang memikat, berhasil memukau ribuan penonton di lokasi dan berjaya meninggalkan kesan yang mendalam melalui lagu-lagu seperti “Jampi” pada malam pertama dan “Diam” pada malam kedua. Selain itu, penampilan Hael pada malam kedua dengan lagu “Kelentang Kelentong” juga menjadi satu sorotan utama. Gaya persembahan Hael yang penuh dengan karisma dan tenaga yang tinggi telah membuatkan penonton terpesona, termasuk jutaan penonton yang menonton secara langsung melalui saluran Indosiar dan aplikasi Vidio. Persembahannya tidak hanya menerima tepukan gemuruh di studio, tetapi turut mendapat pujian dari penggiat seni dan media antarabangsa.
Tidak kurang hebatnya, Nadeera Zaini juga berjaya menarik perhatian dengan vokal yang kuat dan persembahan yang penuh emosi. Menyanyikan lagu-lagu seperti “Nirmala” dan “Bukan Cinta Biasa,” Nadeera membawa penonton dalam perjalanan emosi yang mendalam. Salah satu momen paling mencuri perhatian adalah ketika Nadeera membawakan lagu “Bukan Lagi Kita,” sebuah lagu yang kini menjadi runut bunyi bagi drama popular akan datang, Curang Tanpa Niat. Persembahannya bukan hanya menyentuh hati penonton, tetapi turut menambah dimensi baru pada industri hiburan Asia.
“Saya amat bersyukur dan terharu dengan penghormatan ini. Pada asalnya, kami hanya dijadualkan untuk membawakan dua lagu, tetapi apabila diminta untuk membuat persembahan tambahan, ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa,” ujar Hael Husaini selepas persembahannya. “Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij ini. Ini adalah peluang besar untuk kami berkongsi budaya dan muzik Malaysia dengan dunia.”
Nadeera Zaini pula tidak dapat menahan rasa teruja: “Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada penonton di sini. Dapat kembali ke pentas pada malam kedua dengan lagu tambahan atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan yang tidak ternilai.”
Kedua-dua artis ini, yang baru sahaja melepasi satu lagi pencapaian cemerlang dalam kerjaya mereka, kini bukan sahaja dikenali di Malaysia tetapi juga telah mengukir nama mereka di peringkat antarabangsa. Persembahan mereka di Asian TV Awards menjadi bukti jelas bahawa bakat dan muzik Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan artis-artis terkenal dari serata Asia.
Selain Hael Husaini dan Nadeera Zaini, acara Anugerah Televisyen Asia ke-29 juga diserikan dengan kehadiran bintang-bintang popular seperti Luna Maya, Raffi Ahmad, Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose, dan banyak lagi. Namun, persembahan Hael dan Nadeera tetap menjadi tumpuan dan mencuri perhatian ramai, membuka peluang untuk lebih banyak projek dan kerjasama antarabangsa pada masa hadapan.
Anugerah Televisyen Asia (Asian TV Awards) adalah sebuah acara tahunan yang mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam industri televisyen Asia. Setiap tahun, acara ini menghimpunkan artis dan profesional industri dari lebih 20 negara untuk merayakan pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori, termasuk drama terbaik, pelakon terbaik, pengarah terbaik, serta persembahan muzik terbaik. Dengan siaran langsung yang disaksikan oleh ratusan juta penonton dari seluruh Asia, Anugerah Televisyen Asia terus menjadi pentas utama untuk artis dan karya terbaik di rantau ini.
Dengan pencapaian terbaru ini, Hael Husaini dan Nadeera Zaini membuktikan bahawa mereka adalah antara bintang muda Malaysia yang mampu bersinar di pentas antarabangsa dan seterusnya mengukir nama negara di arena hiburan global.