Hael Husaini Lancar Dua Single Emotif ‘Peluk’ & ‘Alangkah’ Sebagai OST Drama Astro

Penyanyi, komposer dan storyteller terkenal tanah air, Hael Husaini, kembali menyentuh hati peminat dengan pelancaran dua single terbaharu berjudul “Peluk” (duet bersama Nadeera) dan “Alangkah”, terbitan Rocketfuel Entertainment. Kedua-dua lagu ini membawa pendengar menyelami pelbagai sisi cinta dari kerinduan manis hingga rintihan penuh melankolia dan kini dipilih sebagai original soundtrack (OST) untuk dua drama bersiri Astro yang popular.

Lagu “Peluk” mengetengahkan tema hubungan jarak jauh (LDR), menceritakan rindu yang tidak pernah padam serta harapan untuk kembali bertemu insan tersayang. Lagu ini dipilih sebagai tema drama bersiri Astro “Mandul Bukan Pilihan” lakonan Hun Haqeem, Mira Filzah dan Ayda Jebat. Bagi Hael, Peluk adalah karya yang dekat dengan hatinya kerana ia mencerminkan realiti ramai pasangan hari ini. “Saya percaya ramai yang melalui fasa LDR, tidak kira kerana kerja, pelajaran atau keadaan hidup. Lagu ini saya tulis sebagai bingkisan rasa rindu, dan saya mahu ia menjadi teman buat sesiapa yang merasainya,” jelas Hael.

Lebih istimewa, Peluk menampilkan gandingan semula Hael dan Nadeera selepas kejayaan lagu raya viral mereka, “Meriah Lain Macam”. Hael menyifatkan Nadeera sebagai penyanyi yang jujur dalam menyampaikan emosi, manakala Nadeera pula berasa bersyukur dapat berduet sekali lagi. “Lagu ini bukan sekadar tentang cinta jarak jauh, tapi tentang kasih yang tetap utuh walaupun diuji,” kata Nadeera.

Sementara itu, single “Alangkah” membawa nuansa lebih melankolik, mengetengahkan rasa cinta mendalam yang disulami persoalan penuh harapan “alangkah baik jika takdir berpihak padaku…” Lagu ini dipilih sebagai OST drama bersiri “Thariq Ridzwan” yang dibintangi Meerqeen dan Qasrina Karim. Hael mendedahkan lagu ini dihasilkan dari pengalaman orang-orang terdekatnya, dengan mesej bahawa dalam setiap kepedihan ada keindahan yang patut dikenang.

Kedua-dua lagu ini pada awalnya dirancang untuk album sambungan Hael, “Antonim: Part II”. Namun, selepas diperdengarkan secara eksklusif dalam konsert “Hael Husaini & Repertoire”, permintaan tinggi daripada peminat mendorong Rocketfuel Entertainment untuk melancarkannya lebih awal sebagai single digital. “Ramai peminat bertanya bila ia akan dilancarkan. Itu membuat saya rasa betapa pentingnya muzik saya untuk mereka. Saya bukan sekadar mahu keluarkan lagu, tetapi berkongsi sesuatu yang bermakna,” jelas Hael.

Hael berharap kedua-dua lagu ini dapat menemani pendengar dalam perjalanan hidup mereka. “Peluk mungkin jadi penguat untuk mereka yang merindui, sementara Alangkah jadi peneman untuk mereka yang LDR. Jika lagu-lagu ini menjadi sebahagian daripada cerita mereka, itu sudah cukup membahagiakan saya,” tambah Hael.

Kini, single “Peluk” bersama Nadeera dan “Alangkah” boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi kedua-dua lagu ini masih dalam pembikinan dan dijangka menemui penonton dalam masa terdekat.