Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bateriku (M) Sdn. Bhd., syarikat penyedia ekosistem automotif terkemuka negara. MoU ini menjadi langkah strategik dalam merapatkan jurang antara ilmu akademik dan kepakaran industri, serta memperkasa inovasi, keusahawanan dan pembangunan akademik.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di UiTM Shah Alam dirasmikan oleh Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni), dan disaksikan oleh Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Encik Azarol Faizi Bin Zakaria Ansari bersama barisan pengurusan kanan kedua-dua pihak.
Antara fokus utama kerjasama ini termasuk peluang latihan industri dan penyelidikan untuk pelajar UiTM, penganjuran seminar dan kursus pendek, program pertukaran kakitangan serta promosi bersama terhadap keusahawanan dan inovasi teknologi. Ekosistem digital Bateriku.com yang merangkumi perkhidmatan jalan raya, bengkel dan analisis mobiliti selari dengan misi UiTM dalam melahirkan graduan yang bersedia menyertai dunia industri.

Bateriku.com turut berkongsi model inovatif yang berasaskan data raya, Internet of Things (IoT) dan ekonomi perkongsian untuk memberi pendedahan industri sebenar kepada pelajar dan pensyarah. Menurut Azarol Faizi, kerjasama ini adalah langkah membentuk tenaga kerja masa depan, manakala Prof. Jamalunlaili menyatakan usaha ini selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG), sekali gus memperkasakan pelajar dalam aspek kepimpinan, pemikiran kritikal dan kesedaran sosial.
Perjanjian selama tiga tahun ini dijangka membuka lebih banyak ruang kolaborasi berimpak tinggi antara akademia dan industri. Selain itu, Bateriku.com turut mengukuhkan komitmen terhadap prinsip ESG (Environmental, Social & Governance). Ini termasuk inisiatif “Second Life” bagi memperbaharui bateri terpakai, pelupusan beretika bateri melalui syarikat berlesen DOE, serta meningkatkan kesedaran tentang sisa berbahaya.
Dari sudut sosial, syarikat ini menawarkan peluang pekerjaan kepada pelajar, graduan dan golongan kurang upaya, sambil menggalakkan ekonomi perkongsian melalui program BHero dan BPrenuer. Dari segi tadbir urus pula, Bateriku.com menekankan integriti, pematuhan undang-undang dan tanggungjawab sosial yang mampan. Kerjasama ini dilihat mampu memberi nilai tambah besar dalam melahirkan generasi berdaya saing serta memacu pendidikan dan industri ke arah masa depan yang lebih lestari. – Tehtariktimes