Johan, pelakon dan juruhebah popular tanah air, terus membuktikan kebolehannya dalam dunia keusahawanan apabila kini melangkah ke industri automotif hijau dengan memperkenalkan perniagaan baharu berasaskan motosikal elektrik (EV). Usahawan berusia 41 tahun itu, atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, mengusahakan projek ini menerusi syarikatnya, Hanania Group Sdn. Bhd., yang sebelum ini dikenali dengan kejayaan restoran uniknya, Itik Ke Ayam?
Langkah terbaharu Johan dalam dunia perniagaan ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan GGR Motor, yang menyaksikan pembukaan rasmi Pusat Pameran Motosikal Elektrik GGR Motor di bawah jenama GGR x Johan. Acara pelancaran yang berlangsung di Melawati Square, Taman Melawati, Kuala Lumpur itu bukan sekadar memperkenalkan pusat jualan baharu, tetapi turut menandakan permulaan kerjasama rasmi antara GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. dan Hanania Group Sdn. Bhd. melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
Dalam majlis tersebut, GGR Motor turut mengumumkan rancangan besar yang melibatkan MoU dengan beberapa syarikat antarabangsa bagi tujuan eksport motosikal elektrik ke Thailand serta menjalin usahasama dengan pengilang dari China. Inisiatif ini menandakan langkah progresif GGR Motor untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan elektrik dua roda di rantau Asia Tenggara.
Majlis pembukaan turut diserikan oleh kehadiran personaliti terkenal Khairy Jamaluddin, yang juga rakan penyampai radio dan sahabat baik Johan, bagi merasmikan pelancaran pusat pameran tersebut. Bagi Johan sendiri, momen itu merupakan detik bermakna dalam perjalanan hidupnya, bukan sahaja sebagai artis, tetapi juga sebagai usahawan yang serius dalam memperluaskan empayar perniagaannya.
Johan menyatakan rasa syukur dan teruja dengan sambutan yang diterima, serta menjelaskan bahawa penyertaan dalam industri automotif ini adalah manifestasi kesungguhannya untuk membawa nilai baharu kepada pengguna tempatan. Menurutnya, pembukaan pusat pameran ini menjadi bukti komitmen Hanania Group untuk berkembang seiring perubahan masa serta menyokong agenda negara ke arah ekonomi hijau dan mobiliti mapan.
Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Profesor Dr. Nizar Abd Jalil selaku rakan strategik, dan Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi. Melalui penandatanganan MoU tersebut, peluang kerjasama dalam sektor pemasaran dan pengedaran motosikal elektrik dijangka berkembang pesat, di samping membuka lebih 100 peluang pekerjaan kepada masyarakat, khususnya anak muda tempatan.

Motosikal elektrik keluaran GGR Motor menampilkan rekaan moden dengan penekanan terhadap praktikaliti dan ketahanan. Model ini menawarkan tiga pilihan mod kelajuan, bermula dengan 35 kilometer sejam untuk mod pertama, meningkat kepada 45 hingga 55 kilometer sejam bagi mod kedua, dan mencapai kelajuan maksimum 70 kilometer sejam dalam mod ketiga. Dengan tempoh pengecasan penuh sekitar enam jam, motosikal ini sesuai digunakan untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Keistimewaan utama motosikal elektrik ini adalah kos penyelenggaraan yang rendah kerana tidak memerlukan servis enjin berkala. Hanya bahagian asas seperti tayar dan casing bateri perlu dijaga, manakala dua komponen utama iaitu bateri dan pengawal (controller) menjadi nadi utama kepada sistemnya. Pelanggan juga boleh mendapatkan alat ganti dan aksesori tambahan terus dari kedai rasmi GGR Motor bagi memastikan jaminan selepas jualan sentiasa terpelihara.
Sebagai Master Dealer rasmi, PMH Motor akan memainkan peranan penting dalam memperluaskan capaian pasaran GGR Motor di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Bagi pelanggan yang mengutamakan personalisasi, pelbagai pakej tambahan turut ditawarkan termasuk bateri gantian, lampu tambahan, sport rim dan aksesori khas yang boleh disesuaikan mengikut citarasa masing-masing.
Setiap unit motosikal dilengkapi dengan waranti sehingga 50,000 kilometer, memberi keyakinan tambahan kepada pengguna. Pihak GGR Motor juga merancang untuk memperkenalkan model baharu dengan saiz lebih besar dan penambahan ciri teknologi moden tidak lama lagi. Buat masa ini, enam pilihan warna disediakan merah, putih, kuning, oren, biru cair dan merah jambu manakala warna baharu seperti hijau dan biru tua bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Menariknya, harga motosikal elektrik GGR x Johan ditawarkan pada kadar mampu milik, iaitu RM3,999 seunit. Namun, dengan rebat istimewa sebanyak RM1,000 yang diberikan oleh GGR Motor sehingga Disember 2025, pengguna berpeluang memilikinya pada harga serendah RM2,999. Rebat ini terbuka kepada individu berpendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000 dan proses kelulusan hanya mengambil masa tiga hingga lima hari bekerja sebelum pembelian boleh disempurnakan dalam tempoh sebulan.
Setiap motosikal yang dijual akan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan layak menerima perlindungan insurans. Lebih menarik, kenderaan elektrik dua roda ini tidak dikenakan cukai jalan, menjadikannya pilihan yang bukan sahaja menjimatkan, tetapi juga selaras dengan gaya hidup moden dan lestari.
Pelancaran pusat pameran GGR x Johan ini bukan sekadar kejayaan peribadi bagi Johan, tetapi juga simbol kepada perubahan industri automotif negara yang semakin mengarah kepada teknologi hijau. Keberanian beliau sebagai figura terkenal untuk menceburi bidang ini menjadi inspirasi bahawa masa depan mobiliti lestari kini semakin dekat dengan realiti, dan Malaysia sedang melangkah ke hadapan dalam era transformasi tenaga bersih.