Gegar Jiwa dan Gelak Tawa! Filem Komedi Rakyat ‘6 Jilake’ Serbu Pawagam 24 April Ini

Bersedia untuk ketawa, terhibur dan terpegun! Filem terbaharu arahan ikon perfileman Malaysia, Aziz M. Osman, bakal menggegarkan layar perak dengan 6 Jilake sebuah naskhah unik yang menggabungkan aksi mendebarkan, pengembaraan luar biasa dan komedi rakyat yang menyengat. Bermula 24 April 2025, filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia, membawa kisah yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar abad ke-18, dengan sentuhan budaya tempatan yang tidak lapuk dek zaman.

Diterbitkan oleh Eartistic Entertainment di bawah kendalian Dr. Shasa Aziz dan diedarkan oleh Primeworks Studios, 6 Jilake menampilkan barisan pelakon hebat yang cukup dikenali ramai antaranya Amerul Affendi, Saiful Apek, Bell Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau dan ramai lagi. Gabungan pelakon berbakat ini menjanjikan sebuah persembahan yang penuh warna, aksi spontan dan gelak tawa yang tidak berkesudahan.

Kisahnya mengangkat sekumpulan enam samseng yang diupah oleh syarikat Hindia Timur Belanda untuk menakluk lombong bijih timah di Perak. Namun, usaha mereka terbantut apabila berdepan seorang pendekar kampung yang handal mempertahankan tanah airnya. Pertembungan dua dunia ini menyaksikan aksi-aksi hebat berlatarkan zaman penjajahan dengan setiap watak membawa gaya pertarungan tersendiri dan senjata tradisional yang diinspirasikan daripada warisan Melayu seperti Kayu Selengan Kembar, Tekpi dan Nanchaku Tahi Besi 1000 Tahun.

Lebih menarik, nama-nama ahli kumpulan samseng ini cukup mencuit hati Pulut Panggang, Kole Kacang, Badak Berendam, Tatnanas, Bingka Ubi dan Nagasari. Gabungan nama kuih-muih tempatan dengan aksi ganas dan komedi mencetuskan kelainan yang pasti menjadi bualan ramai. Inilah antara kekuatan 6 Jilake menjadikan budaya sebagai watak utama dalam setiap adegan, tanpa meninggalkan elemen hiburan yang menghiburkan.

Jika anda rindu filem-filem lama yang punya jiwa, identiti dan keaslian tersendiri 6 Jilake wajib ditonton. Ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membangkitkan rasa bangga terhadap budaya dan sejarah kita.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang bakal menjadi buah mulut ramai ini, hanya di pawagam bermula 24 April 2025. Untuk segala perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan video menarik, ikuti media sosial rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.