Francais Malaysia Raih Tumpuan di Osaka: Peluang Baharu di Peringkat Global

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) telah berjaya menganjurkan Misi Perdagangan Francais ke Osaka, Jepun bersempena Franchise Expo Osaka 2025 (FRAX 2025) yang berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos 2025 di INTEX Osaka. Misi ini diketuai oleh YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP dan menjadi kesinambungan kepada usaha terdahulu di China melalui China Franchise Expo 2025 pada awal Ogos.

Penyertaan Malaysia di FRAX 2025 membuka peluang besar kepada syarikat francais tempatan untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran Jepun yang terkenal dengan standard ketat terhadap kualiti dan pematuhan halal. Misi ini turut mengangkat keupayaan usahawan francais Malaysia yang kini bersedia bersaing di peringkat global.

Sebanyak lapan syarikat francais terkemuka negara mengambil bahagian dalam misi ini bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan tempatan, selain menjalin kerjasama dengan rakan niaga Jepun. Antara pengisian utama adalah sesi perbincangan bersama Japan Franchise Association (JFA) serta kerjasama strategik dengan Kumon, jenama pendidikan francais terbesar di Jepun.

KUSKOP yakin langkah ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dagang dua hala, malah menjadi pemangkin kepada aspirasi Dasar Francais Negara 2030 yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai Hab Francais ASEAN menjelang 2030.