Penyanyi dan komposer berbakat, Firdaus Rahmat, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbarunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang mengupas sisi kemanusiaan melalui pergelutan antara marah, kecewa dan keikhlasan.
Menariknya, lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri, daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya peribadi yang dekat di hati. Dengan susunan muzik segar dan lirik yang menyentuh jiwa, lagu ini membawa pendengar menyelami rasa dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan.
“Dendam adalah keinginan membalas sifat buruk seseorang terhadap kita, namun akhirnya kita sedar hanya Tuhan yang berhak menentukan penghakiman sebenar,” ujar Firdaus yang turut berperanan sebagai komposer lagu ini.
Berbeza daripada karya terdahulu, Dendam menyerlahkan kematangan vokal Firdaus serta keberaniannya bereksperimen dengan teknik nyanyian balada yang mencabar. Menurutnya, keseimbangan antara lontaran vokal, ton suara dan teknik nyanyian menjadi kunci dalam menyampaikan emosi sebenar lagu ini. Lagu ini mencabar dari segi lontaran dan teknik nyanyian. Saya jarang menyanyikan balada sebegini, tapi saya percaya ton suara boleh memberi impak besar dalam menyampaikan perasaan sebenar,” katanya lagi.
Proses pembikinan lagu mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman hanya memerlukan tiga jam, namun berlangsung dengan intensiti tinggi. Firdaus turut berkongsi momen menarik ketika di studio apabila beliau terpaksa berehat seketika bagi mengumpul semula tenaga dan emosi sebelum menyambung rakaman.
Dari segi penceritaan, Dendam mengetengahkan tema yang dekat dengan realiti masyarakat pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan membalas perbuatan namun akhirnya menyerah kepada keadilan Ilahi. Ia bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi juga satu bentuk renungan diri yang mendalam.
Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat sekali lagi membuktikan keupayaannya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi berbakat, tetapi juga sebagai komposer dan penulis lirik yang mampu menghasilkan karya matang dan berjiwa.
Lebih menarik, lagu Dendam turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama Takdir Cinta Terlarang yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.