Farid Kamil Buka Kedai Motor Elektrik, Dorong Mobiliti Hijau di Selangor

Pelakon, pengarah dan usahawan, Farid Kamil melakar langkah baharu dalam dunia perniagaan apabila melancarkan kedai motor elektrik (EV) pertamanya sebagai Selangor Dealer melalui penubuhan NEO FK Sdn Bhd bersama rakan kongsi, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim. Projek ini turut mendapat sokongan rakan kolaborasi strategik, GGR Motor, dengan matlamat membawa revolusi mobiliti hijau kepada rakyat Malaysia.

Majlis pelancaran yang berlangsung di NEO FK Sdn Bhd, beralamat di 69GF Seria 88 Business Center Setia Alam, telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Acara itu turut disaksikan tetamu kehormat, wakil media serta peminat industri automotif tanah air.

Menurut Farid Kamil selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, visi utama projek ini adalah untuk menyediakan motosikal elektrik berkualiti, mampu milik, mesra alam dan sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Beliau menegaskan bahawa orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang untuk memiliki motosikal EV dengan harga serendah RM1,599 sahaja.

“Kami percaya kenderaan elektrik adalah masa depan mobiliti. Dengan kerjasama GGR, kami yakin dapat mempercepatkan transformasi ini, bukan sahaja di Selangor malah ke seluruh Malaysia,” ujar Farid.

Kedai ini bakal menawarkan pelbagai model motosikal elektrik yang dilengkapi teknologi bateri moden, sistem pengecasan pantas serta ciri keselamatan tinggi. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda hijau negeri, malah dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang penyelenggaraan EV dan memberi ruang kepada vendor tempatan untuk terlibat dalam ekosistem industri hijau.

Farid Kamil turut menyeru lebih ramai pemain industri automotif untuk menjadi rakan strategik NEO FK dalam usaha memperkukuh kapasiti syarikat agar mampu berkembang ke peringkat serantau.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan bacaan doa, ucapan penghargaan daripada Farid sendiri selaku CEO, gimik pelancaran motor elektrik serta sesi temu bual media bersama Menteri Besar Selangor dan Farid Kamil.