FAMILI DUO musim keempat (FD4) akan kembali dengan lebih banyak kejutan, persaingan yang sengit, dan tentunya, bakat luar biasa dari keluarga selebriti kesayangan anda.
Tahun ini, satu teka-teki yang menarik akan muncul—siapakah pasangan misteri yang akan melengkapkan barisan peserta FAMILI DUO? Saksikan sendiri dan jangan lepaskan peluang untuk merasai suasana yang mendebarkan ini!
Sejak diperkenalkan pada 14 Februari 2021, FAMILI DUO telah berjaya menyemarakkan semangat kekeluargaan di kalangan penonton. Program ini berfungsi sebagai platform untuk para selebriti mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan mengangkat nilai-nilai kekeluargaan melalui keindahan muzik. FAMILI DUO telah mencipta fenomena yang luar biasa dan memperoleh pengikut setia di seluruh negara. Sebagai salah satu program realiti hiburan terkemuka di Malaysia, FAMILI DUO sentiasa mendapat sambutan hangat dari tahun ke tahun. Kini, detik yang ditunggu-tunggu telah tiba, FAMILI DUO kembali untuk menggegar pentas dengan musim keempat yang lebih dahsyat. Musim ini akan menampilkan enam pasangan selebriti yang akan bersaing secara sengit, memukau penonton, dan penuh dengan kejutan.
Pada sidang media yang berlangsung di The Grey Box, GMBB, Bukit Bintang, barisan pasangan selebriti musim terbaharu telah diperkenalkan kepada media dan peminat. Sidang media ini juga dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada bintang FAMILI DUO musim kedua, termasuk Ara Johari, Shaffiq Erwin, Naim Daniel, dan Sissy Iman, yang menambah lagi kehangatan acara dan meningkatkan debaran untuk musim yang akan datang.
FAMILI DUO 4 (FD4) dijadualkan bersiaran selama lapan episod, yang akan bermula pada 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pada pukul 9.00 malam di TV3. Penonton juga boleh menonton secara langsung dalam format HD melalui Tonton atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store.
Berkaitan dengan barisan peserta, enam pasangan keluarga telah disahkan untuk memanaskan pentas FAMILI DUO 4 (FD4). Namun, teka-teki terbesar musim ini terletak pada pasangan misteri yang akan melengkapkan senarai peserta. Adakah anda sudah mempunyai tekaan? Kejutan besar menanti apabila hanya lima pasangan yang diumumkan setakat ini. Lima pasangan yang telah disahkan adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), serta Didi Astillah & Yasmin Aziz (sepupu). Namun, masih ada satu misteri yang belum terungkai; pasangan keenam masih belum didedahkan sepenuhnya, dengan Naqiu tampil bersendirian di pentas buat masa ini. Siapakah pasangan misteri yang bakal muncul dan mencuri perhatian di pentas FAMILI DUO musim ini? Ini membuatkan musim ini lebih mendebarkan!
FAMILI DUO 4 (FD4) turut dibawakan kepada anda oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama dan Marigold HL sebagai rakan penaja. Selain itu, OhBulan! dan XTRA turut menyemarakkan musim ini sebagai Famili Digital. Duo juara mingguan akan membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 pada tujuh episod pertama, manakala finalis di pentas akhir FAMILI DUO berpeluang merebut hadiah wang tunai utama sebanyak RM100,000! Pemenang mingguan akan ditentukan melalui penilaian juri (70%), dan penonton juga berpeluang mempengaruhi keputusan dengan undian atas talian melalui Tonton yang menyumbang sebanyak 30%.
Pengguna Tonton yang berdaftar layak untuk mengundi duo kegemaran mereka sebanyak 50 undi seminggu, sementara mereka yang melanggan pakej tiga bulan layak untuk mendapat tambahan 100 undian setiap minggu dengan menggunakan ciri TontonUp! Ini bermakna, penonton akan mempunyai jumlah 150 undian dalam seminggu. Lebih banyak undian, lebih tinggi peluang untuk menang! Gunakan kod promo FAMILIDUO2024 untuk menikmati potongan istimewa dengan hanya membayar RM8 bagi langganan tiga bulan, sambil memberikan sokongan kepada duo pilihan anda. Selain itu, dua pelanggan berbayar berpeluang memenangi dua buah Samsung Smart TV 65′ setiap minggu hanya dengan meneka Duo Terbaik Mingguan.
Musim baharu FAMILI DUO akan dikendalikan oleh pasangan hos serba boleh, Janna Nick dan Sharif Zero. Kerusi juri akan diisi oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor, yang pasti akan memberikan kritikan dan pujian yang pedas dan tepat. Enam pasangan selebriti ini akan bertarung dan mempamerkan kreativiti mereka menerusi tema berbeza bagi setiap minggu.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti persaingan sengit ini. Gunakan hashtag rasmi #FamiliDuo2024 dan #FamiliDuoTV3 untuk berkongsi tekaan dan menghangatkan perbualan di media sosial. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyokong dan mengundi duo selebriti kegemaran anda di pentas persembahan FAMILI DUO nanti! Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, ikuti laman media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.