Ernie & Anggi Satukan Emosi Dalam Lagu Baru

Ernie & Anggi Ernie & Anggi

Dua penyanyi hebat dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, bergabung dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single terbaru berjudul “Kisah Penuh Kecewa”. Lagu ciptaan Clara Riva, Ernie, Anggi dan penerbit muzik S/EEK ini merupakan sebuah balada emosi yang mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian, namun tetap membawa mesej kekuatan dan ketabahan. Dengan gabungan vokal mantap dan emosi yang tulus, lagu ini disasarkan untuk menyentuh hati pendengar di kedua-dua negara serta seluruh peminat muzik serantau.

Menurut Ernie, lagu ini menggambarkan situasi perpisahan bukan kerana tiada lagi rasa cinta, tetapi kerana salah seorang pasangan telah memilih untuk tidak meneruskan hubungan. Walaupun penuh kesedihan, lagu ini tetap membawa harapan agar pendengar yang sedang mengalami kekecewaan dapat bangkit semula. Ernie turut berkongsi pengalaman merakamkan lagu ini di Jakarta ketika bulan Ramadan, yang menjadi cabaran unik dalam proses rakaman. Beliau turut melahirkan rasa teruja dapat bekerjasama dengan pasukan kreatif seperti Clara Riva, S/EEK, IRVNAT, serta Anggi Marito yang dianggap sebagai antara penyanyi muda terbaik dari Indonesia.

Bagi Anggi pula, peluang bekerjasama dengan Ernie adalah satu penghormatan besar. Beliau mengagumi kekuatan vokal dan keupayaan penyampaian emosi Ernie yang disifatkan sangat menyentuh hati. Proses penulisan lagu ini berjalan lancar, dan mereka sepakat untuk menjadikannya sebuah ‘power ballad’ yang jujur dan dekat dengan jiwa. Dengan susunan muzik yang megah dan lirik yang menyayat hati, “Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu duet biasa, tetapi satu karya yang memberi kekuatan kepada mereka yang pernah melalui pengalaman serupa.

Lagu ini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai 23 Mei 2025, lengkap dengan video muzik rasmi yang menggambarkan naratif visual sejajar dengan kekuatan emosi lagu. Menambahkan lagi keterujaan, Anggi Marito bakal membuat penampilan istimewa dalam Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang akan berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura satu malam penuh emosi yang menggabungkan dua suara terbaik dari Asia Tenggara.