EMPAT, gabungan empat bintang tersohor tanah air iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, memberikan kejutan istimewa kepada peminat melalui single terbaru mereka berjudul “Jangan Henti”. Lagu ini dihasilkan sebagai simbol kasih, semangat, dan penghargaan EMPAT terhadap sokongan tanpa henti yang diterima sepanjang perjalanan seni mereka.
“Jangan Henti adalah hadiah terbaru daripada kami untuk para peminat. Lagu ini lahir daripada kasih dan semangat yang tidak pernah putus, sama seperti sokongan anda yang sentiasa mengiringi langkah kami. Semoga irama ini menjadi pengikat kenangan terindah menjelang Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025,” ujar EMPAT.
Lagu ini ciptaan Edry Abdul Halim (KRU) dengan lirik hasil kerjasama Syamel, Ernie, dan Edry, serta sokongan Anuar Zain Network Sdn Bhd, Ziana Zain Network Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd. “Jangan Henti” dijangka boleh didengarkan di semua platform digital bermula minggu hadapan.
Sebagai sebahagian daripada meraikan momen bersejarah ini, EMPAT mengadakan sesi eksklusif bersama peminat pada 4 Oktober 2025 di Centre Court, Sungei Wang Plaza, bersempena tayangan perdana muzik video “Jangan Henti”. Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang menonton muzik video lebih awal, tetapi juga menyediakan pengalaman peribadi untuk berfoto bersama empat figura hebat ini.

Seramai 70 peminat bertuah akan dipilih, termasuk 50 peminat terawal yang hadir dengan bukti pembelian tiket konsert dan 20 yang membeli tiket di lokasi acara. Setiap peminat terpilih akan menerima poster eksklusif bertandatangan EMPAT sebagai kenangan istimewa.
EMPAT turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada peminat mereka. “Kami menantikan kehadiran anda dengan penuh rasa syukur dan terima kasih. Setiap anda yang hadir bukan sekadar memberi sokongan, tetapi menjadi sumber kekuatan dan semangat buat kami. Sokongan anda adalah inspirasi yang akan membawa tenaga, kekuatan, dan doa agar konsert pada 18 Oktober nanti bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah kenangan terindah buat semua,” ujar EMPAT.
Konsert utama, Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025, bakal berlangsung pada 18 Oktober di Mega Star Arena. Konsert ini dijangka menjadi malam magis yang menggabungkan empat suara emas dalam satu pentas, menjanjikan persembahan bersejarah bagi peminat muzik tempatan.
Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tiket, ia boleh diperoleh melalui pautan berikut: http://www.ticket2u.com.my/empatkl. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini, siapkan diri anda dengan tenaga, kesihatan, dan hafal semua lirik kerana EMPAT bakal memberikan persembahan terbaik untuk semua.