Kuala Lumpur, 9 Jun 2025 – Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini mencatat sejarah sebagai filem animasi tempatan nombor satu dengan kutipan terkini sebanyak RM50.7 juta selepas 18 hari tayangan! Filem yang mula ditayangkan pada 22 Mei ini terus mencuri hati penonton dari pelbagai lapisan, dipuji atas mutu teknikal bertaraf antarabangsa, jalan cerita menyentuh hati, serta pengalaman sinematik yang luar biasa.
Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin, berterima kasih atas sambutan luar biasa dan usaha berterusan pasukan Primeworks Studios serta WAU Animation yang mencuba pelbagai pendekatan promosi kreatif. Katanya, sokongan peminat adalah tunjang utama kejayaan filem ini.
Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima TV dan Primeworks Studios pula menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kemampuan animasi tempatan mencipta impak besar dan menyerlahkan potensi industri kandungan buatan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
EATM2 bukan sahaja berjaya di Malaysia dan Brunei, malah kini ditayangkan di Singapura sejak 5 Jun dan bakal memasuki Indonesia pada 27 Jun 2025. Ini membuka peluang besar dalam sektor pelesenan dan pembarangan untuk jenama Ejen Ali seperti pakaian, alat tulis dan permainan.
Filem ini masih ditayangkan di pawagam. Ayuh rakyat Malaysia, teruskan sokongan untuk menjadikan EATM2 sebagai filem animasi tempatan paling berjaya sepanjang zaman! Kongsi pengalaman anda di media sosial dengan tanda pagar #ejenalithemovie2 #EATM2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan. – Tehtariktimes