DUKES Tiup Semangat Harapan dan Kekuatan Menerusi “LAGU TIGA” Berirama Indie Rock

LAGU TIGA DUKES LAGU TIGA DUKES

Band indie rock DUKES kembali dengan single terbaru berjudul “Lagu Tiga”, yang bukan sekadar karya muzik biasa tetapi sebuah luahan perasaan yang dekat dengan jiwa pendengar. Dikelilingi oleh ahli kumpulan Ziyyad (vokalis), Rayyan dan Jimbo (gitaris), Umar (bassist), serta Cheng (dram), lagu ini menjadi pembuka tirai kepada album penuh mereka yang dijangka dilancarkan tahun ini. Melalui “Lagu Tiga”, DUKES membawa warna baru muzik mereka yang penuh dengan harapan dan kekuatan.

Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh DUKES, dengan lirik hasil kerjasama antara Ziyyad Imran dan Hazim Osman. Susunan muzik yang minimalis dalam lagu ini memberikan ruang yang cukup untuk mesej mendalam disampaikan. “Lagu Tiga” melambangkan kebangkitan dan simbol harapan yang mampu menyentuh hati sesiapa yang pernah melalui masa sukar dalam hidup.

Menurut DUKES, idea untuk lagu ini muncul secara spontan ketika mereka sedang sesi jamming santai tanpa tekanan. Melodi, perasaan, dan vibe lagu ini terbentuk dengan semula jadi, menjadikan ia sebuah karya yang sangat ikhlas dan tulen. Proses penulisan lirik juga berlangsung dengan pantas kerana ilham yang muncul pada waktu itu sangat kuat dan asli, dengan bait-bait asal yang hampir tidak diubah, demi mengekalkan kejujuran mesejnya.

Cabaran terbesar yang mereka hadapi adalah mencari titik keseimbangan antara muzik dan lirik supaya kedua-duanya saling melengkapi dan berjaya menyampaikan emosi yang diinginkan. DUKES menegaskan bahawa keikhlasan dalam penyampaian adalah sangat penting agar lagu ini benar-benar dapat dirasakan oleh pendengar.

DUKES berharap “Lagu Tiga” dapat menjadi sumber inspirasi bagi mereka yang pernah rasa kehilangan arah dan mengalami kegagalan. Mereka percaya setiap kejatuhan adalah sebahagian daripada perjalanan, dan yang paling penting adalah bagaimana kita bangkit kembali apabila tiba waktunya. Jika belum tiba, itu tidak mengapa kerana peluang untuk bangkit akan sentiasa ada.

“Lagu Tiga” bukan sahaja menandakan bab baru dalam karier DUKES, malah menjadi simbol kekuatan dan harapan yang mereka ingin kongsi bersama para peminat dan pendengar. Lagu ini kini boleh didengarkan di Spotify melalui pautan rasmi mereka.

Untuk mengikuti perkembangan terbaru DUKES dan projek mereka, jangan lupa untuk mengikuti media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).