AYER HITAM, 10 Februari 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menganjurkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) @Kedah dengan memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian melalui teknologi digital. Program ini menekankan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam inisiatif ‘Malaysia Digital Agriculture Technology’ (Digital AgTech) bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing pertanian negara.
Inisiatif Digital AgTech selari dengan pelantikan MDEC sebagai Pengesah Teknologi Strategik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengukuhkan keterjaminan makanan negara dan mencapai sasaran ekonomi digital sebanyak 25.5% daripada KDNK menjelang tahun 2025.
Transformasi digital sektor pertanian adalah antara keutamaan kerajaan yang seiring dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara. Kerajaan terus memperkukuhkan kerjasama antara Kementerian Digital, KPKM, Kementerian Ekonomi serta pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan pertumbuhan mampan sektor ini.
Sejak pelancarannya pada November 2023, Digital AgTech telah menyaksikan pelaksanaan lebih 600 sistem di seluruh negara. Lebih 30,000 usahawan tani telah menerima latihan berkaitan Internet Kebendaan (IoT) dan AI bagi meningkatkan kecekapan operasi pertanian mereka.
Di negeri Kedah, sebanyak 40 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan pada tahun 2024 yang melibatkan sub-sektor tanaman, ternakan, dan akuakultur. Pada tahun 2025, sebanyak 15 projek tambahan berteraskan IoT dan AI bernilai lebih RM300,000 akan dilaksanakan bagi mempercepatkan transformasi digital pertanian di negeri ini.

Pengadaptasian teknologi Digital AgTech terbukti memberi manfaat besar kepada sektor pertanian. Keberhasilan yang dicapai termasuk peningkatan produktiviti sehingga 20%, peningkatan pendapatan sehingga 20%, serta pengurangan kos operasi sehingga 30%. Langkah ini juga menyumbang kepada kestabilan keterjaminan makanan negara.
Selain itu, Digital AgTech memberi impak positif kepada golongan B40 dan menarik minat golongan belia untuk menyertai sektor pertanian moden. Lebih 50% peserta yang terlibat dalam inisiatif ini berusia di bawah 40 tahun, dengan potensi pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun menerusi penerapan teknologi digital.
JMD @Kedah turut merangkumi lawatan tapak ke fasiliti akuakultur berteknologi AI serta sesi libat urus bersama pemegang taruh industri. Program ini menjadi platform penting untuk membincangkan cabaran serta peluang dalam ekosistem Digital AgTech.
Majlis pelancaran Jelajah Malaysia Digital @Kedah dirasmikan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, bersama pegawai tinggi KPKM dan MDEC. Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian Malaysia, MARDI, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Agrobank, dan syarikat teknologi seperti Pacton Technologies dan Blue Archipelago Berhad.
Dengan pelaksanaan Digital AgTech yang semakin meluas, kerajaan komited untuk memperkukuhkan infrastruktur digital sektor pertanian bagi meningkatkan daya saing industri, menjana peluang pekerjaan baharu, serta memperkukuhkan keterjaminan makanan negara dalam jangka panjang.