Ikon muzik samba rock Malaysia, Darkkey Nagaraja, bakal tampil dengan konsert solo pertamanya, I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert, pada 2 Ogos 2025 di Panggung Bangsawan Melaka.
Konsert ini dianjurkan oleh Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) bersama Patahati Universe, sebagai usaha mengumpul dana kebajikan untuk golongan miskin, anak yatim dan tujuan pendidikan. Ia juga meraikan kejayaan Darkkey dalam industri filem Kollywood menerusi lagu AK The Tiger dari filem Good Bad Ugly.
Presiden MMPCC, T Manimaran, menyatakan konsert ini terinspirasi daripada pencapaian Darkkey yang sejak era 90-an kekal aktif memperjuangkan muzik Tamil tempatan dan kini mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Turut menjayakan konsert berdurasi dua jam ini ialah penyanyi Santesh, yang popular dengan lagu Amalina, dan Zubir Khan yang dikenali menerusi lagu Tamil viral Yennode Macha. Konsert ini turut disokong oleh Tourism Melaka, Panggung Bangsawan Melaka serta Mewah Event Management, manakala tiket rasmi boleh didapati menerusi iLasso Tickets bermula 6 Jun.
Tiket konsert akan mula dijual pada 6 Jun ini melalui ilassotickets.com dengan harga RM69 (Puli Puli – Berdiri), RM79 (Akamage – Duduk) dan RM89 (Adiva Adiva – Duduk). Pembeli tiket duduk juga akan menerima lanyard eksklusif dan poster bertandatangan sebagai cenderamata.

Panggung Bangsawan Melaka yang kini berwajah baharu selepas renovasi oleh MCorp, menjadi lokasi strategik sebagai hab seni tempatan. Pengurus Besarnya, Datin Sukhirah Ibrahim, menyambut baik usaha ini dalam memartabatkan seni persembahan dan menarik minat pelancong.
Menurut Pengarah Projek Patahati Universe, Cassandra, konsert ini adalah permulaan kepada lebih banyak acara seni live di Melaka, yang menawarkan nilai estetika dan harga tiket lebih berpatutan berbanding Kuala Lumpur.
Konsert ini dijangka menjadi pertemuan bersejarah tiga generasi pengkarya Darkkey, Santesh dan Zubir Khan sekaligus menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui muzik sambil menyokong kerja kebajikan. Layari ilassotickets.com untuk pembelian tiket. – Tehtariktimes