Cinta Terhalang dalam Dunia Mafia: ‘Bila Takdir Melarang Cinta’ Tawarkan Kisah Menarik

Bagaimana jika cinta berkembang di tengah-tengah dunia yang dipenuhi dengan dendam, pengkhianatan, dan kuasa yang tak terhingga? Jawapannya ada dalam Bila Takdir Melarang Cinta, sebuah drama bersiri iQIYI Original yang penuh aksi dan emosi. Drama ini akan membawa penonton menyelami dunia “underground” yang berbahaya, di mana cinta terperangkap dalam pelbagai konflik dan cabaran yang tidak pernah dijangkakan. Penstriman eksklusif drama ini bermula pada 14 Februari 2025 di platform iQIYI.

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fadlan Hazim, Nadia Brian, Afiq Muiz, Eddy Syahir, Yaakob Abdul Aziz, Dato’ Eizlan Yusof, Zarynn Min, Hanna Halim, Faizul Syaharin, Adam Shahz, dan Shatirah Amanda, Bila Takdir Melarang Cinta disutradarai oleh Shuhaimi Zulkefli dengan terbitan Metrowealth dan hasil karya penulis Keetan Brenan.

Di tengah hiruk-pikuk Kuala Lumpur, dua keluarga mafia terbesar—keluarga Salim dan keluarga Borhan—bergelut merebut kuasa, dengan segala kekuasaan dan pengaruh yang ada. Rayyan (lakonan Fadlan Hazim), anak kepada Salim, tekad untuk keluar dari dunia gelap ini. Walaupun terlahir dalam keluarga mafia, Rayyan merancang untuk melepaskan diri daripada segala keterikatan dengan jenayah. Fadlan Hazim, yang melakonkan watak ini, menjelaskan, “Walaupun Rayyan adalah seorang mafia, dia tetap berpegang teguh dengan prinsip hidupnya. Dia mahu hidup bebas daripada dunia jenayah, meskipun harus berdepan dengan risiko menentang bapanya sendiri.”

Di sisi lain, Hawa (lakonan Nadia Brian), pewaris keluarga Borhan, bercita-cita untuk mengubah perniagaan gelap bapanya dan mencari tempat yang lebih baik dalam dunia yang penuh dusta dan kekejaman. Nadia Brian berkongsi, “Saya berharap penonton dapat memahami jiwa Hawa dalam drama ini dan mengapa dia sanggup berjuang untuk perubahan demi keluarga.”

Namun, ketika perjanjian damai antara kedua keluarga mafia ini bertukar menjadi serangan berdarah akibat pengkhianatan, konflik pun tercetus. Tanpa disedari, Rayyan terperangkap dalam situasi di mana dia melindungi Hawa—musuh yang selama ini sepatutnya dibenci. Dalam hujan peluru dan rahsia yang semakin terungkap, timbul pula perasaan cinta yang tak sepatutnya. Di tengah dunia yang penuh dengan pengkhianatan dan kecurigaan, mampukah mereka bertahan untuk menggapai cinta yang tidak mungkin dimiliki?

Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, En. Jony Deng berkata, “Bila Takdir Melarang Cinta” bukan sekadar drama cinta biasa. Ia penuh dengan aksi, emosi, dan dilema yang pastinya akan membuat penonton teruja. Dengan plot yang mendebarkan, barisan pelakon yang mantap, serta kisah cinta yang diuji oleh kepercayaan, dendam, dan pengorbanan, saya yakin drama ini akan menjadi kegemaran ramai. Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya hanya di iQIYI!”

Tayangan Perdana di iQIYI

Bila Takdir Melarang Cinta akan memulakan tayangannya di platform iQIYI secara eksklusif pada 14 Februari 2025. Saksikan episod terbaru dengan langganan VIP iQIYI, dan nikmati tontonan tanpa gangguan iklan serta dalam kualiti definisi tinggi.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari laman media sosial rasmi iQIYI atau ikuti media sosial rasmi drama ini. Siapkan diri untuk menyelami kisah penuh konflik, ketegangan, dan cinta yang tidak dapat terpisahkan dalam Bila Takdir Melarang Cinta!