Unisinema@UiTM, sebuah platform yang menggabungkan sejarah dan masa depan sinema Malaysia, terus berkembang dengan penuh semangat dalam mempromosikan budaya filem tempatan. Dengan kerjasama antara Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM dan Cinemove Club, sebuah kelab filem yang berfokuskan kepada promosi dan pendidikan sinema Malaysia, projek ini bertujuan untuk membawa pengalaman unik kepada penonton, sambil memperkasa pelajar dalam mengasah bakat mereka di dunia perfileman.
Setelah kejayaan tayangan siri pertama dan kedua yang menampilkan filem “Mar Rak” dan “Abnormal: Buas”, Cinemove Club kini kembali dengan filem terbaru mereka, Gold arahan Adrian Teh. Tayangan ini akan membawa penonton, khususnya pelajar UiTM, melalui pengalaman menonton yang mengasyikkan dan memberikan penghargaan kepada karya-karya pengarah tempatan yang berimpak besar.
Bertepatan dengan tema “Suara Tanpa Batas”, Cinemove Club berusaha untuk meraikan pelbagai suara dan cerita yang melangkaui sempadan. Salah satu elemen menarik kali ini adalah kolaborasi dengan Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat, Selangor dan Wilayah Persekutuan (PPOC), yang akan dijemput untuk menyaksikan tayangan eksklusif Gold pada 18 Januari 2025. Inisiatif ini bertujuan memberi ruang kepada kelompok masyarakat yang sering dipinggirkan untuk turut sama merasai kekuatan cerita melalui sinema, serta membuka mata kepada isu-isu sosial yang melibatkan golongan kurang upaya (OKU).
Unisinema@UiTM juga memberi perhatian kepada pengajaran praktikal pelajar dalam bidang pengurusan produksi filem. Bekerjasama dengan Act 2 Pictures Sdn. Bhd., pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Produksi Filem UiTM diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam proses pembuatan filem, menggunakan teknologi terkini dan teknik pengeluaran industri. Melalui program ini, pelajar tidak hanya mempelajari teori tetapi juga berpeluang memperoleh pengalaman berharga dalam aspek praktikal dunia perfileman.
Menurut Presiden Cinemove Club, Haleyson Roland, kelab ini bukan sahaja menyediakan platform untuk pelajar mempelajari aspek teknikal pembikinan filem, tetapi juga menjadi medium bagi mereka untuk lebih peka terhadap isu-isu sosial semasa. “Cinemove Club adalah jambatan untuk mahasiswa memahami lebih dalam mengenai dunia filem, dan lebih penting lagi, menyentuh topik-topik sosial yang relevan dengan masyarakat kini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek, Nur Syuhada, menjelaskan bahawa kali ini, Cinemove Club ingin memberi tumpuan kepada golongan OKU melalui tema yang diangkat dalam filem Gold. “Kami ingin membuka mata dan hati semua pihak untuk melihat keindahan dalam kekuatan, perjuangan, dan keberanian mereka. Setiap individu mempunyai cerita yang perlu didengari, dan melalui sinema, kami berharap dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan ini,” ujarnya.
Dengan usaha berterusan daripada KPSK, UiTM, untuk melahirkan graduan yang kompetitif dan mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi, program-program seperti Unisinema@UiTM memberikan peluang kepada pelajar untuk memperkasa diri dan bersedia menghadapi cabaran global. KPSK terus berusaha untuk memastikan pelajarnya siap untuk bersaing dalam industri kreatif tempatan dan antarabangsa, sejajar dengan matlamat UiTM untuk menjadi sebuah Universiti yang Diiktiraf di Peringkat Global menjelang 2025.
Untuk maklumat lanjut mengenai Unisinema@UiTM dan program-program yang dianjurkan oleh Cinemove Club, anda boleh menghubungi Dini Batrisyia di talian 013-302 6629 atau melayari laman Instagram rasmi mereka di @fita.cinemove.club.