Cat Farish Perkenal Alter Ego ‘Si Penghulu’ Dalam Single Terbaru “Jandanyer Yeah Yeah”

Penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop terkenal tanah air, Cat Farish, kembali dengan kelainan apabila memperkenalkan alter ego baharu yang dinamakan ‘Si Penghulu’. Di bawah persona unik ini, beliau tampil dengan single sulung berjudul “Jandanyer Yeah Yeah” sebuah karya segar yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta keindahan bahasa dan budaya rakyat Perak. Lagu ini ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal, dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana, dan diterbitkan serta diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd, yang turut memegang hak cipta lagu dan lirik tersebut.

Menariknya, “Jandanyer Yeah Yeah” bukan sekadar lagu hiburan semata-mata, tetapi membawa mesej penghargaan kepada wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan dan semangat untuk memperbaiki diri. Dalam nada santai dan berjenaka, Si Penghulu mengangkat kisah janda yang kembali menjadi rebutan bukan kerana rupa paras semata, tetapi kerana keazaman dan keanggunan selepas melalui fasa perpisahan. “Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” ujar Cat Farish.

Watak Si Penghulu sendiri mula lahir ketika Cat Farish terlibat dalam kolaborasi lagu “Ok” ciptaan Malique, sebelum dikembangkan menjadi satu persona kreatif yang menyatukan gaya hip hop dengan elemen budaya tempatan. Dengan loghat Perak yang jelas dan penyampaian bersahaja, Si Penghulu tampil sebagai suara masyarakat dengan gaya moden yang segar. Projek ini turut mendapat sokongan penuh daripada isteri beliau, Shikin Maembong, yang menjadi sumber inspirasi utama sepanjang proses kreatif lagu tersebut.

Walaupun rakaman lagu disiapkan baru-baru ini, idea asalnya telah dirancang selama lebih dua tahun bagi mendapatkan lirik dan penyampaian terbaik. Pelancaran ini menandakan kemunculan Si Penghulu sebagai hip hoper Kampung Sri Kintadi di bawah naungan Luncai Emas, sekali gus membuka lembaran baharu dalam dunia muzik rakyat urban tempatan.

Single “Jandanyer Yeah Yeah” bakal dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital serta saluran YouTube Luncai Emas. Diharapkan karya terbaru daripada Si Penghulu A.K.A Cat Farish & Shikin Maembong ini mendapat sambutan hangat daripada para pendengar dan media tempatan.