Penyanyi bersuara emas dari Indonesia, Cakra Khan, bakal mengubati rindu para peminat menerusi konsert solo berskala besar yang dinamakan Divine Concert Cakra Khan. Konsert ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan album keduanya Divine yang dilancarkan pada tahun 2024, sekaligus menjadi simbol kepada perjalanan seni beliau selama lebih satu dekad.
Menariknya, Divine Concert akan dipersembahkan di dua lokasi berbeza bermula di The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai 2025, sebelum ke Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025. Konsert ini dianjurkan oleh Shiraz Projects, yang menyifatkan pentas ini sebagai sesuatu yang luar biasa, magis dan penuh emosi buat para peminat.

Menurut Shirazdeen Karim, Pengarah Urusan Shiraz Projects, pemilihan judul “Divine” bukan sekadar nama, tetapi membawa maksud luar biasa dan hebat, seiring dengan karakter vokal Cakra Khan yang unik dan penuh penghayatan. Konsert ini juga akan mempersembahkan lagu-lagu dari album terbaharu selain membawa peminat menyelusuri kembali karya-karya popular yang menjulang nama penyanyi ini.
Permintaan tinggi daripada peminat menjadi faktor utama konsert ini diadakan di dua negara. Menurut Shirazdeen lagi, peminat kini diberi pilihan untuk menyaksikan persembahan di Singapura, Malaysia atau kedua-duanya sekali. Peminat di Malaysia boleh mendapatkan tiket di laman sesawang www.myticket.asia, manakala bagi peminat di Singapura, tiket dijual melalui www.sistic.com.sg, bermula pada 12 Februari 2025 jam 10 pagi.
Harga tiket untuk konsert di Kuala Lumpur adalah RM1,295 (Meet & Greet), RM795 (Diamond), RM695 (Platinum), RM455 (Gold), RM255 (Silver) dan RM225 (Bronze). Sementara itu, tiket di Singapura ditawarkan pada harga SGD248 (Meet & Greet), SGD168 (Diamond), SGD148 (Platinum) dan SGD128 (Gold).

Cakra Khan turut meluahkan rasa teruja dengan penganjuran konsert ini dan memberi pesanan ringkas buat peminatnya, “Apa yang pasti kalian akan menikmati Divine Concert Cakra Khan seperti mana saya selalu menikmati apresiasi anda semua terhadap saya.”

Bersedialah untuk menyanyikan lagu-lagu hit seperti Kepada Hati, Salah Tapi Baik, Mencari Cinta Sejati dan Kekasih Bayangan secara langsung bersama Cakra Khan dalam satu malam yang penuh keindahan dan emosi. – Tehtariktimes