Byond Asia, syarikat penyelesaian digital human berteraskan AI, hari ini melakar sejarah dengan pelancaran dunia Panel Interaktif HoloMe sempena penganjuran pertama Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025). Inovasi ini merupakan hasil penyelidikan selama dua tahun oleh pasukan global Byond Asia yang beroperasi di Malaysia, Korea, Timur Tengah, China dan Hong Kong.
Panel Interaktif HoloMe menggabungkan teknologi digital human hiper-realistik dengan antaramuka mesra pengguna termasuk panel sentuh interaktif, pengimbasan kod QR, serta sokongan pelbagai bahasa. Penyelesaian ini membolehkan interaksi AI lebih praktikal, mudah diakses, dan sesuai untuk pelbagai sektor seperti kerajaan, runcit, kesihatan, kewangan, pendidikan dan pelancongan.
Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Byond Asia, Fred Chong menyifatkan pelancaran HoloMe sebagai bukti kemampuan Malaysia menjadi peneraju inovasi AI dan Bandar Pintar. “Misi kami adalah untuk menjimatkan masa, mengurangkan kos dan mencipta nilai. Dengan HoloMe, kami membuktikan bahawa digital human mampu mengubah cara perniagaan, kerajaan dan komuniti berinteraksi dengan teknologi,” ujarnya.

Pelakon pemenang anugerah, Sangeeta Krishnasamy, turut tampil sebagai Duta Digital Human untuk HoloMe. Beliau menekankan potensi teknologi ini dalam memperluaskan hubungan artis dan harta intelek ke pasaran global merentasi sempadan budaya dan bahasa.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Digital Malaysia, YB Gobind Singh Deo, yang memuji kejayaan Byond Asia sebagai simbol kekuatan inovasi tempatan di persada antarabangsa. “Saya bangga kerana sebuah syarikat Malaysia berani menghasilkan produk dalam proses paten A.S. dan menjadikannya solusi praktikal yang memberi impak nyata,” katanya.
Selepas kejayaan di Kuala Lumpur, Byond Asia akan membawa HoloMe ke pentas global di GITEX Dubai dan Smart City Expo Barcelona, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab AI dan Bandar Pintar ASEAN.