Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Bolt Malaysia, peneraju perkhidmatan mobiliti global, telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka khas di Kuala Lumpur untuk meraikan musim perayaan ini bersama komuniti rakan pemandu mereka. Acara tersebut turut memberi penghargaan kepada individu yang memainkan peranan penting dalam perjalanan harian para pengguna.
Perhimpunan yang mesra ini mengumpulkan komuniti rakan pemandu, kakitangan Bolt, serta wakil media yang dijemput, sekaligus memperkukuh komitmen syarikat untuk membina ekosistem perkhidmatan e-hailing yang inklusif dan menyokong di Malaysia.
Bertempat di Rumah Abang Jamil, suasana yang mesra dan meriah menyatukan para pemandu untuk berinteraksi sesama mereka dan bersama pasukan Bolt Malaysia. Majlis ini juga membuka peluang bagi pemandu untuk berkongsi pengalaman secara langsung dalam suasana yang penuh semangat Raya, dengan memberi nilai penghargaan dan memperkukuh hubungan dalam komuniti.
Pada acara tersebut, Bolt mengiktiraf tiga rakan pemandu terbaik atas sumbangan cemerlang mereka kepada platform, menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh pemandu dalam mencipta pengalaman e-hailing yang positif. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen Bolt untuk terus menghargai serta menyokong individu yang menjadi asas kepada perkhidmatan mereka.
Afzan Lutfi, Pengurus Besar Bolt Malaysia, menjelaskan bahawa Majlis Rumah Terbuka yang dianjurkan merupakan salah satu cara untuk mereka menyampaikan penghargaan kepada rakan pemandu. Beliau menegaskan bahawa para pemandu bukan sekadar pengguna platform, sebaliknya mereka merupakan rakan kerjasama, sebahagian daripada komuniti, serta wira harian syarikat. Tambahnya lagi, acara ini turut menjadi medium penting untuk mendengar maklum balas secara langsung, memahami keperluan mereka, serta membina platform yang lebih menyokong, khususnya dalam suasana perayaan.
Majlis tersebut turut memberi ruang kepada para pemandu untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka. Ramai antara mereka menekankan bahawa pekerjaan gig membuka peluang menjana pendapatan sambil menyeimbangkan tanggungjawab keluarga dan gaya hidup. Shahnoorsalmi Binti Khalid, seorang pemandu sepenuh masa dari Klang, berkongsi bahawa dengan memandu bersama Bolt, beliau mampu memperoleh pendapatan tetap dan pulang ke rumah tepat pada waktunya untuk berbuka puasa bersama anak-anak. Beliau juga menghargai fleksibiliti yang ditawarkan oleh platform tersebut, terutamanya semasa musim perayaan.
Sejak pelancarannya, Bolt telah menunjukkan pertumbuhan pesat di Malaysia, dengan peningkatan pendaftaran rakan pemandu sebanyak 540% dalam tempoh tiga bulan. Ini mencerminkan sambutan positif rakyat Malaysia terhadap platform e-hailing yang menawarkan pendapatan yang lebih adil, insentif harian, dan fleksibiliti yang lebih tinggi.
Dengan kadar komisen 15% ketika pelancaran, Bolt memberi peluang kepada rakan pemandu untuk menyimpan lebih banyak pendapatan, sambil memberikan mereka kawalan penuh terhadap masa dan perjalanan. Model harga Bolt juga memberi kelebihan, dengan caj tol dimasukkan terus dalam tambang, menjadikan pengalaman perjalanan lebih telus dan mudah dijangka bagi pemandu dan penumpang.
Dalam beberapa bulan akan datang, Bolt akan memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi untuk memudahkan pengurusan jarak pengambilan dan memberi akses lebih baik kepada pendapatan pemandu. Penambahbaikan ini dibangunkan berdasarkan maklum balas komuniti pemandu dan merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan Bolt di Malaysia. Ini termasuk pelancaran kategori perjalanan baru, Bolt Executive, yang menawarkan pengalaman premium kepada penumpang dan peluang pendapatan lebih tinggi kepada pemandu.
Dengan penglibatan berterusan dan komitmen untuk membina masa depan mobiliti yang lebih inklusif, Bolt berhasrat untuk terus mengembangkan perkhidmatannya di Malaysia, memperkenalkan kategori perjalanan baru, dan memperkukuhkan sokongan kepada rakan pemandu. Pendekatan ini mencerminkan tekad Bolt dalam mentakrifkan semula pengalaman e-hailing dengan memberi tumpuan kepada manusia dan membina hubungan yang lebih erat dalam komuniti.