Industri hiburan tanah air terus mencipta sejarah tersendiri apabila RPM Group of Companies secara rasmi dilancarkan, menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh ekosistem seni dan hiburan Malaysia. Di bawah naungan kumpulan ini, tiga entiti dinamik telah disatukan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., RPM Events Sdn. Bhd., dan RPM Labels Sdn. Bhd. masing-masing membawa kepakaran tersendiri yang menyumbang kepada pembangunan industri dari pelbagai sudut. Rumah Produksi Merah berperanan sebagai peneraju dalam penerbitan kandungan kreatif merangkumi drama, filem dan program hiburan berimpak tinggi, manakala RPM Events memfokuskan kepada penganjuran konsert, festival muzik, acara korporat dan program berskala besar. RPM Labels pula memainkan peranan sebagai label rakaman yang memberi tumpuan kepada pembangunan artis tempatan serta mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah RPM Group of Companies, penubuhan kumpulan ini bukan sekadar penyatuan syarikat, tetapi satu gerakan kolektif untuk membangunkan industri hiburan negara secara lebih profesional dan berstruktur. Beliau menyatakan bahawa dengan menyatukan tiga entiti utama di bawah satu bumbung, RPM Group dapat mewujudkan sinergi kukuh yang akan melahirkan lebih banyak karya bermutu tinggi, bukan sahaja untuk hiburan semata-mata tetapi juga membawa nilai dan mesej kepada masyarakat.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pengumuman Rockology Concert Tour 2025, sebuah jelajah konsert berskala nasional yang dianjurkan sepenuhnya oleh RPM Events Sdn. Bhd. Jelajah ini dilihat sebagai platform penting untuk mengangkat semula kegemilangan muzik rock tempatan, dengan menampilkan dua nama besar dalam arena muzik tanah air Dato’ Awie dan Search (Kid Din). Kedua-dua legenda ini bakal berkongsi pentas dalam sebuah persembahan penuh nostalgia dan tenaga, membawakan lagu-lagu yang pernah menjadi siulan generasi terdahulu dan kini kembali dihidupkan untuk generasi baharu.
Dato’ Awie dalam ucapannya berkata bahawa beliau menerima pelawaan untuk terlibat dalam konsert ini kerana percaya kepada visi dan semangat di sebalik penganjurannya. Menurutnya, Rockology bukan sekadar konsert hiburan, tetapi sebuah gerakan untuk menghidupkan semula jiwa rock dalam kalangan rakyat Malaysia. Apa yang lebih membanggakan, sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert ini akan disalurkan kepada program tanggungjawab sosial (CSR) anjuran RPM, termasuk projek khas “Konsert Wings Dalam Penjara” yang bertujuan menyantuni komuniti terpinggir dan memberi mereka semangat baharu untuk pulih dan berubah.
Dato’ Eddy turut menegaskan bahawa Rockology Concert Tour 2025 merupakan titik permulaan kepada misi RPM untuk membawa muzik rock tempatan ke tahap yang lebih tersusun, profesional dan mampan. Beliau turut mengalu-alukan penyertaan rakan penaja serta kolaborator strategik bagi bersama-sama menjayakan konsert ini, bukan hanya sebagai satu acara muzik, tetapi juga sebagai gerakan budaya dan sosial yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

Rockology Concert Tour 2025 akan berlangsung di dua lokasi utama, iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 bagi North Chapter, dan EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025 bagi South Chapter. Konsert jelajah ini dijangka menarik kehadiran sehingga 15,000 peminat muzik rock dari seluruh Malaysia termasuk Singapura. Tiket bagi North Chapter kini boleh didapati menerusi laman web rasmi https://rpm.ubertickets.asia/ dengan harga mampu milik bermula serendah RM98, selaras dengan komitmen RPM untuk memastikan konsert ini dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis tanah air, pengurusan kanan RPM Group serta pengumuman rakan strategik yang akan bersama-sama menyokong siri jelajah ini. Sebarang pertanyaan berkaitan media, penajaan atau kerjasama boleh dikemukakan kepada Nasya Abbas, selaku Pengurus Acara RPM Events di talian 012-2439856 atau menerusi emel nasya@rpmerah.com.my.