Watak Rizwan dalam Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencuri tumpuan penonton dengan skil bertarung yang hebat serta suara garau yang ‘cool’. Di sebalik karakter ini, Azman Zulkiply menjadi individu penting yang menghidupkan Rizwan menerusi lakonan suara. Dalam video di media sosial, Azman memperlihatkan proses intens merakam effort sounds seperti jeritan, helaan nafas dan bunyi lain yang menyokong emosi babak, termasuk persediaan teknikal seperti menyusun bunyi “breath, launch, attack, thrown, landing to recover”. Proses ini memerlukan stamina dan tumpuan tinggi, malah setiap rakaman dibuat dalam beberapa versi demi hasil terbaik.
Menariknya, Rizwan bukan satu-satunya watak yang dibawa Azman. Beliau turut menyuarakan General Rama dan Viktor, mewakili tiga kaum berbeza Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian ini dipermudahkan oleh pengalaman Azman bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum sejak kecil, membolehkan beliau menyampaikan intonasi dan loghat dengan lebih autentik. Watak-watak ini telah disuarakan Azman selama hampir 10 tahun, mencerminkan pengaruh dan dedikasi beliau dalam dunia lakonan suara.
Antara babak paling mencabar buat Azman adalah adegan terakhir General Rama bersama Alicia. Menukar karakter tegas kepada seorang bapa yang penyayang menuntut kawalan emosi tinggi kerana penonton sudah biasa dengan gaya lantang Rama. Namun, Azman berjaya menampilkan sisi lembut watak itu dengan penuh berkesan. Misi EATM2 masih aktif teruskan sokongan anda di pawagam minggu ini! – Tehtariktimes