Awan Jadi Saksi: Pementasan Hebat Naskhah Malina Manja di Pentas Teater

Dunia seni teater tempatan bakal disemarakkan dengan pementasan karya asli yang menyentuh hati bertajuk Tingginya Menyapu Awan, hasil tulisan Malina Manja dan arahan teateris berpengalaman, Dr. Marlenny Deenerwan. Pementasan ini akan berlangsung pada 25, 26 dan 27 Julai 2025 bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Pementasan ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia bertujuan untuk memperkukuh kedudukan seni teater tempatan serta mengangkat karya-karya yang mencerminkan wajah budaya, nilai dan identiti kebangsaan.

“Tingginya Menyapu Awan” membawa penonton menyelami kehidupan sekumpulan gelandangan yang menetap di penempatan setinggan pinggir kota. Dalam suasana serba kekurangan, komuniti ini hidup saling menyokong dan bersatu hati. Namun ketenangan mereka diuji apabila seorang lelaki tua yang nazak menyuarakan hasrat terakhirnya untuk menikmati susu dan buah segar. Usaha komuniti memenuhi permintaan ini gagal apabila seorang gadis terencat akal bernama Melur tanpa sengaja memakan makanan itu, mencetuskan konflik dan membuka kisah silam yang penuh rahsia serta persoalan mendalam tentang marah, dendam, kemanusiaan dan makna hidup.

Mengangkat tema eksistensialisme dan realisme sosial, karya ini bukan sahaja mengetengahkan konflik peribadi dan sosial tetapi turut menyentuh realiti kehidupan golongan marjinal yang jarang diberi suara dalam medium arus perdana. Gabungan penceritaan yang kuat, arahan bertenaga dan lakonan mantap menjadikan pementasan ini antara yang paling dinanti dalam kalender seni tahun ini.

Barisan pelakon yang terlibat dalam pementasan ini terdiri daripada nama-nama hebat dalam dunia seni pentas seperti Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a kesemuanya bersedia menghidupkan watak-watak penuh emosi dan konflik dalam karya penuh jiwa ini.

Melalui pementasan ini, JKKN WPKL dan rakan strategiknya berharap dapat menarik lebih ramai khalayak, khususnya generasi muda, untuk mendekati dunia teater dan menyedari peranannya sebagai medium pendidikan, refleksi sosial dan pemangkin perubahan masyarakat.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Encik Shahrizal Abdan di talian 012-3688570 atau Puan Shariza Isa di 013-9391535. E-mel pertanyaan juga boleh dihantar ke wpkl@jkkn.gov.my. – Tehtariktimes