Atilia & Salamiah Hassan Bawa Gelombang Bahagiaku dalam Persembahan Ibu & Anak

Satu malam yang bakal menyentuh jiwa pencinta seni akan berlangsung pada 16 Ogos 2025, jam 8:30 malam di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), apabila dua nama besar dunia muzik tanah air Atilia Haron dan ibunya, Salamiah Hassan bersatu di pentas menerusi Konsert Gelombang Bahagiaku. Dihasilkan oleh Mujik Wand Production, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, malah merupakan simbol kasih antara dua wanita istimewa ibu dan anak yang diikat oleh pertalian darah, disatukan oleh cinta dan diabadikan melalui muzik.

Bagi Atilia, konsert ini merupakan sebuah impian sejak kecil yang akhirnya menjadi kenyataan. Ia bukan sekadar satu projek seni, tetapi sebuah penghargaan buat ibunya, insan paling dikasihi dan menjadi sumber inspirasinya dalam dunia muzik. Menurutnya, peluang berkongsi pentas berskala besar bersama wanita yang dicintainya itu menjadikan dia terasa seperti insan paling bertuah di dunia. Melihat ketekunan dan perjalanan seni ibunya sejak kecil menjadikan pengalaman ini amat bermakna buat Atilia, yang kini dapat meluahkan rasa cinta dan terima kasihnya secara langsung melalui lagu-lagu yang bakal dipersembahkan.

Konsert ini turut menampilkan keunikan tersendiri apabila menyatukan dua gaya nyanyian berbeza vokal penuh jiwa dari Salamiah dan sentuhan moden daripada Atilia. Gabungan dua generasi ini bukan sekadar menarik dari segi persembahan, malah membawa simbolik perpaduan dua dunia yang berpadu melalui irama yang sama. Bagi Salamiah, yang menyambut ulang tahun ke-55 dalam dunia seni menerusi projek Salamiah Hassan: #Legacy, ini merupakan kali pertama beliau dan Atilia berkongsi pentas besar, dan beliau sangat bersyukur atas peluang ini.

Salah satu momen paling ditunggu-tunggu dalam konsert tersebut ialah persembahan duet pertama mereka menerusi lagu baharu bertajuk “Age Is Just A Number”. Lagu ini membawa mesej tentang kematangan, keberanian serta keindahan menjadi diri sendiri tanpa mengira usia. Atilia menyifatkan karya tersebut sebagai cerminan kepada diri mereka berdua dua wanita berdikari yang menjalani hidup dengan penuh semangat dan cinta terhadap apa yang dilakukan.

Detik paling dinantikan Atilia dalam konsert ini adalah saat mereka berdua menyanyi sambil saling berpandangan di atas pentas satu momen magis yang bukan sahaja istimewa buat mereka berdua, tetapi juga diyakini dapat dirasai oleh para penonton. Bagi Salamiah, dia berharap penonton dapat merasai sendiri keakraban dan jalinan kasih ibu-anak yang akan terserlah bukan sahaja menerusi suara mereka, tetapi juga getaran emosi yang hadir dalam setiap persembahan. Katanya, meskipun mereka berbeza dari segi pendekatan muzik, cinta mereka terhadap seni menjadi penyatu yang paling kuat.

Dalam menjayakan Konsert Gelombang Bahagiaku, Atilia dan Salamiah berdepan pelbagai cabaran, namun mereka tetap cekal meneruskan usaha dengan sokongan sahabat-sahabat terdekat yang percaya pada misi mereka. Atilia mengakui mereka memulakan segalanya dengan kemampuan sendiri dan hanya melakukan apa yang perlu untuk memastikan impian ini dapat direalisasikan. Syukur, berkat kepercayaan dan bantuan rakan-rakan, konsert ini akhirnya dapat dilaksanakan.

Konsert Gelombang Bahagiaku dijangka menjadi sebuah malam yang penuh emosi, kenangan indah dan persembahan yang menyentuh hati sebuah hadiah istimewa buat sesiapa yang menghargai nilai keluarga, cinta yang tidak bersyarat dan muzik yang merentas generasi. Atilia berharap penonton bersedia untuk menyaksikan sebuah pengalaman yang berbeza, namun tetap dekat di hati, dengan nyanyian yang mampu meresap ke jiwa.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Gelombang Bahagiaku mula dijual pada 13 Mei 2025 jam 10:00 pagi. Terdapat tiga kategori tiket iaitu Platinum (RM350), Gold (RM250) dan Silver (RM150). Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web rasmi di ticket2u.com.my/event/43440. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi artis dan pihak penganjur.