Asyraf Nasir, penyanyi rap dan hip hop yang semakin popular di Malaysia, kembali dengan single terbaharu berjudul “Cinderella”. Kali ini, dia membawa kisah dongeng moden yang penuh keyakinan dan semangat, tanpa kasut kaca seperti dalam cerita asal. Lagu ini menyasar golongan yang sering dipinggirkan atau dianggap ‘underdog’, mengajak mereka untuk merayakan saat apabila mereka akhirnya mendapat perhatian dan berada di bawah cahaya.
Menurut Asyraf, “Cinderella” adalah lagu untuk sesiapa yang pernah merasa terpinggir tetapi tahu mereka memiliki sesuatu yang luar biasa. Lagu ini bercerita tentang keyakinan dan bagaimana seseorang boleh menjadi pusat perhatian, namun dalam cara yang seronok, nakal, dan penuh gaya.
“Lagu ini adalah tentang menikmati detik apabila semua mata memandang dan anda rasa dihargai sepenuhnya,” jelas Asyraf.
Menariknya, “Cinderella” dihasilkan dalam masa hanya dua hari, menggunakan rakaman pertama atau ‘first take’. Asyraf, bersama penerbit dan rakan kolaborator SonaOne, berjaya menangkap tenaga spontan yang segar ketika di studio, tanpa terlalu memikirkan setiap detail. “Kami tidak terlalu berfikir panjang. Apa yang anda dengar adalah hasil rakaman yang sangat jujur,” kata Asyraf.
Pengalaman bekerja dengan SonaOne adalah sesuatu yang memberi banyak pencerahan kepada Asyraf. “Dia tahu bila masa untuk memberi ruang dan bila masa untuk menaikkan tenaga. Ia seperti permainan ping-pong idea – saya lempar, dia balas, dan akhirnya lagu ini menjadi hidup,” tambahnya.
Salah satu elemen menarik dalam “Cinderella” ialah penggunaan ‘eccentric synth piano’ yang membuka lagu ini. Bunyi ini sebenarnya diinspirasikan dari sebuah lagu lama Malaysia yang telah diolah semula dengan sentuhan moden.
Walaupun “Cinderella” bermula sebagai demo pada tahun 2020, ia tetap kekal segar dalam ingatan Asyraf dan rakan-rakan pemuzik yang mendengarnya. Dari versi demo ke versi akhir, hampir tiada perubahan besar yang dibuat kerana keajaiban lagu ini sudah jelas sejak dari awal. “Kami hanya memperbaiki adunan muzik, tetapi mengekalkan rasa asalnya,” kata Asyraf.
Fakta menarik: Tajuk asal lagu ini adalah “Condifento”, yang diilhamkan daripada gurauan spontan semasa proses penciptaan rentak.
Dengan “Cinderella”, Asyraf memulakan fasa baharu dalam kerjayanya. “Ini adalah babak pertama dalam fasa baru saya. Setiap lagu saya akan ada watak dan personaliti tersendiri, seolah-olah karakter dalam filem. Saya mahu pendengar terjebak dalam fantasi itu,” ujarnya.
Lagu “Cinderella” akan berada di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025, menandakan era baru Asyraf Nasir yang penuh gaya dan keyakinan.