ASWARA & Neo Gendang Records Lancar Jelajah Universiti ‘Pistol & Bunga’

Sidang media khas telah diadakan bagi mengumumkan kerjasama antara Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama Neo Gendang Records. Inisiatif ini menyatukan dua ikon rock tanah air, Edrie Hashim dan kumpulan Candy Malaysia, menerusi kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik yang dikendalikan oleh pensyarah Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar.

Kerjasama ini turut menandakan pelancaran program Siri Jelajah Universiti “Pistol & Bunga”, dengan ASWARA dipilih sebagai lokasi pertama. Nama “Pistol & Bunga” melambangkan gabungan tenaga rock dan kesenian melodi, dengan “Pistol” mewakili Edrie Hashim dan “Bunga” mewakili kumpulan Candy.

Edrie Hashim, yang terkenal sebagai ketua kumpulan Projek Pistol dan pernah menghasilkan karya untuk artis ternama seperti Amy Search, Ella dan Misha Omar, membawa simbol kekuatan rock tanah air. Manakala Candy, kumpulan rock wanita ikonik sejak 1996, melambangkan kelembutan dan kecantikan wanita. Kumpulan ini masih aktif hingga kini, malah baru sahaja muncul dengan single terbaharu bertajuk Setia2u pada September 2024 di bawah label Neo Gendang Records.

Menurut Edrie, tujuan utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar universiti merasai pengalaman sebenar bekerjasama dengan artis profesional dalam bidang pengurusan produksi muzik. Melalui program ini, pelajar berpeluang belajar menjadi pengurus produksi, pengurus pentas, promosi, pemasaran dan pelbagai aspek lain yang berkaitan dengan penganjuran acara berskala industri.

Sebagai sebahagian daripada program, sesi uji bakat telah diadakan di Studio Rakaman ASWARA pada hari yang sama. Uji bakat ini terbuka kepada semua pelajar ASWARA dan mencari bakat baharu sebagai pemain gitar, bass, drum serta keyboard. Mereka yang terpilih akan membentuk sebuah band dan bakal beraksi bersama Edrie Hashim dan Candy dalam konsert khas pada 20 September 2025 di Orchestra Hall, ASWARA.

Objektif utama jelajah ini adalah untuk menghargai sumbangan legenda rock tanah air, memperkenalkan semula muzik rock kepada generasi muda, mempromosikan instrumen tempatan, serta menyediakan platform kepada bakat baharu. Ia juga memberi nilai tambah kepada fakulti melalui penganjuran program berskala industri sekali gus meningkatkan reputasi akademik dan hubungan strategik bersama penggiat seni profesional.

Selepas ASWARA, jelajah “Pistol & Bunga” dijadualkan berlangsung di UiTM Shah Alam pada Januari 2026, diikuti Universiti Malaya (UM), UPSI, USM, UKM, UPM, UNIMAS dan UMS.

Edrie Hashim dan Candy turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak media yang sentiasa menyokong perjalanan karier mereka, selain berharap program ini akan menyuntik semula minat generasi muda terhadap muzik dan budaya Malaysia.