‘Apa Artinya Aku’ Karya Terbaru Yovie Widianto Bersama Trio LTZ

Komposer legenda dan maestro balada cinta, Yovie Widianto, kembali menyatukan tiga diva muda berbakat Indonesia, Lyodra, Tiara Andini, dan Ziva Magnolya, dalam sebuah kolaborasi yang luar biasa. Lagu terbaru yang diberi judul “Apa Artinya Aku”, merupakan karya yang digubah oleh Arsy Widianto dan diterbitkan secara eksklusif oleh Yovie Widianto untuk trio ini, yang akrab dikenali sebagai LTZ.

Lagu ini mengisahkan perasaan cinta tak berbalas, di mana seseorang yang dilamun cinta terpaksa menerima kenyataan pahit hanya menjadi pilihan kedua dalam hati orang yang dicintainya. Menurut komposer Arsy Widianto, tema lagu ini sederhana tetapi penuh makna. “Lagu ini menceritakan kisah cinta yang tidak berbalas, di mana seseorang menyimpan harapan dan perasaan mendalam, tetapi akhirnya hanya dikecewakan,” jelas Arsy.

Pemilihan Lyodra, Tiara, dan Ziva sebagai penyanyi lagu ini bukanlah sesuatu yang kebetulan. Yovie Widianto menjelaskan bahawa kekuatan vokal ketiga-tiga artis muda ini menjadikan mereka pilihan sempurna untuk menyampaikan emosi mendalam dalam lagu ini.

“Dalam sesi rakaman bersama Arsy, Mas Bowo, dan Dennys Nussy, kehebatan penghayatan vokal mereka benar-benar luar biasa. Bahkan di bahagian bridge, yang sangat mencabar, suara mereka tetap unik dan indah,” ujar Yovie.

Beliau turut memuji karakter vokal mereka yang unik dan kemampuan mereka untuk membawa nuansa lagu ini dengan penghayatan yang sempurna. “Mereka adalah antara bakat muda terbaik dalam industri muzik saat ini. Saya yakin lagu ini akan meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar,” tambah Yovie.

Lyodra, Tiara, dan Ziva pernah bekerjasama dengan Yovie Widianto melalui lagu “Menyesal,” yang dilancarkan pada Mac 2023 sebagai sebahagian daripada projek album Yovie & His Friends. Lagu tersebut berjaya mencatatkan kejayaan besar dengan 140 juta penstriman di Spotify dan lebih 57 juta tontonan di YouTube.

Tidak hanya itu, pada tahun 2020, ketiga-tiga penyanyi ini turut merakamkan versi tersendiri untuk lagu #TerlanjurMencinta: “Mengapa Kita #TerlanjurMencinta” oleh Lyodra, “Maafkan Aku #TerlanjurMencinta” oleh Tiara, dan “Tak Sanggup Melupa #TerlanjurMencinta” oleh Ziva, yang semuanya menjadi hits.

Lagu “Apa Artinya Aku” kali ini menawarkan susunan muzik balada pop yang indah, diiringi dengan alunan piano, strings section, dan harmonisasi vokal yang memukau. Proses kreatif ini disempurnakan oleh gabungan bakat Yovie Widianto dan anaknya, Arsy Widianto, menjadikan lagu ini sebuah karya yang benar-benar menyentuh perasaan.

Tidak hanya dari segi muzik, video muzik lagu ini juga dihasilkan dengan penuh teliti. Diarahkan oleh Jessy Sylviani dan Bobby Adrian V, video ini menampilkan jalan cerita mendalam dan visual sinematik yang memukau. Pelakon Michelle Ziudith tampil sebagai watak utama, menghidupkan kisah cinta yang penuh kekecewaan dengan penghayatan yang luar biasa.

“Saya berharap lagu ini dapat memberi kekuatan kepada mereka yang pernah merasakan pengalaman cinta tak berbalas. Semoga lagu ini diterima baik oleh pendengar,” kata Yovie Widianto penuh harapan.

Single “Apa Artinya Aku” kini boleh didengarkan di semua platform digital muzik, sementara video muziknya telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Yovie Widianto. Pastikan lagu ini ada dalam senarai main anda, dan rasai sendiri keindahan emosi yang disampaikan melalui gabungan bakat luar biasa ini.

Penstriman di Semua Platform: “Apa Artinya Aku” LINK

Video Muzik Rasmi: “Apa Artinya Aku” LINK

Kredit Audio:

  • Komposer: Arsy Widianto
  • Penerbit: Yovie Widianto & Adrian Kitut
  • Al Keys, Piano, Pad: Adrian Kitut
  • Yamaha CP Piano: Yovie Widianto
  • Pengarah Vokal: Bowo Soulmate & Dennis Nussy
  • Rec Engineer: Yusup Albatani
  • Digital Editor: Hery Alesis
  • Mixing & Mastering: Ari Renaldi di ARU Studio