Bintang baharu yang semakin bersinar di persada muzik tempatan, Julia Duclos, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul “Look and See.” Lagu ini bukan sekadar karya muzik, malah merupakan refleksi mendalam tentang perjalanan emosinya – dari bergelut dengan keraguan diri hingga menemui kekuatan dalaman.
“Look and See” ditulis dalam saat-saat yang penuh dengan cabaran peribadi buat Julia. Mengisahkan tentang perjuangan untuk mendengar suara hati sendiri sambil berdepan dengan tekanan dan harapan dari sekeliling, lagu ini membawa mesej penting: memperjuangkan diri sendiri itu bukan satu kelemahan, tetapi satu bentuk keberanian.
Dalam sebuah temu bual khas, Julia berkongsi bagaimana lagu ini terhasil dari proses introspeksi yang jujur. “Saya cipta lagu ini ketika saya berada dalam keadaan emosi yang rapuh. Ia seperti perbualan saya dengan diri saya sendiri – satu bentuk dorongan untuk terus bertahan,” jelasnya. Lagu ini menjadi seperti pelindung untuk mereka yang berjuang secara senyap, memberi ruang untuk bernafas dan merasa difahami.
Penghasilan “Look and See” turut mencatat satu pencapaian penting buat Julia apabila dia berkolaborasi buat pertama kalinya dengan penerbit muzik dari Malaysia, JOEK. Kerjasama ini berlangsung secara organik tanpa tekanan, memberi ruang kepada kreativiti tulen untuk berkembang. “Kami tak paksa apa-apa… kami biar lagu ini terbentuk dengan sendiri,” ujar Julia.
Menariknya, proses rakaman turut melibatkan elemen peribadi apabila Julia mengundang abangnya untuk merakam bahagian gitar satu tambahan yang memberi jiwa kepada susunan muzik lagu ini. Ia menjadi salah satu detik paling bermakna dalam pembikinan karya ini.
Dari segi visual pula, Julia tampil dengan sesuatu yang lebih berani dan unik. Video muzik “Look and See” diinspirasikan daripada elemen animasi gelap, dunia fantasi, serta sedikit sentuhan seram menjadikannya satu pengalaman sinematik yang mengundang rasa ingin tahu. “Saya mahu orang rasa dunia saya. Ini adalah permulaan kepada naratif visual saya dalam muzik,” katanya.
Penggambaran video muzik ini juga merupakan satu pengalaman baru yang menyeronokkan untuk Julia, yang turut melibatkan dirinya secara aktif dalam setiap aspek kreatif. “Saya sangat puas hati dengan hasil akhirnya dan tak sabar untuk kongsi dengan semua,” tambahnya.
Melangkah ke hadapan, Julia berazam untuk terus menghasilkan muzik yang lebih jujur dan berkolaborasi dengan pelbagai artis dari pelbagai latar. “Saya mahu berkembang dalam bidang yang saya cintai, dan saya percaya kolaborasi boleh cipta sesuatu yang luar biasa,” kongsinya penuh semangat.
“Look and See” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital. Lagu ini bukan sahaja memperkenalkan sisi baru Julia, tetapi turut menjadi suara untuk mereka yang sedang belajar mencintai diri dan berdiri untuk diri sendiri.