Penyanyi dan komposer berbakat Andi Bernadee kembali memikat hati peminat muzik tempatan dengan pelancaran single terbarunya berjudul Siapakah Namamu. Lagu ini mengangkat kisah romantis tentang pertemuan cinta yang tidak disangka-sangka, penuh dengan perasaan indah dan magis cinta pandang pertama.
Single ini merupakan hasil kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz (penyusun muzik & penerbit), serta The T. Menurut Andi, lagu Siapakah Namamu membawa pendengar menyelami momen pertama jatuh cinta saat hati terpaut hanya dengan satu pandangan, lalu timbul keinginan untuk mengenali insan istimewa tersebut.
“Lagu ini tentang seseorang yang menunggu cinta, dan akhirnya cinta itu hadir tepat di hadapan mata, mempesona dengan wajah yang ayu dan jelita,” – Andi Bernadee
Inspirasi & Proses Kreatif
Idea lagu bermula apabila Andi menerima melodi daripada The T, yang terus menarik perhatiannya. Beliau mengakui rentak lagu ini berbeza daripada karya-karyanya sebelum ini. Malah, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, turut terlibat dalam penulisan lirik untuk memberikan sentuhan peribadi agar lagu ini terasa dekat di hati peminat.
Walaupun proses rakaman berjalan lancar, Andi berkongsi bahawa lagu ini memerlukan teknik kawalan vokal yang rapi, terutamanya pada bahagian melodi yang naik dan turun inilah yang menjadikan Siapakah Namamu unik dan istimewa.
Kerjasama Hebat & Harapan Andi
Andi turut memuji kesungguhan Kuizz dan The T yang menjadi tulang belakang penghasilan lagu ini. Beliau berterima kasih atas kerjasama mereka dan tidak menolak untuk bekerjasama lagi di masa hadapan.
Sesuai Untuk Mereka Yang Sedang Dilamun Cinta
Menurut Andi, lagu ini tidak memerlukan pendengar untuk terlalu mendalami maksud liriknya. “Mainkan saja ketika anda sedang berbunga-bunga mengenali seseorang yang baru. Anda akan faham rasanya,” tambah beliau.
Siapakah Namamu boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 15 Ogos 2025, dan muzik video rasmi akan dilancarkan secara eksklusif di YouTube Andi Bernadee.- Tehtariktimes