‘Aku Stacy’ Jadi Fenomena di SICC!

Stacy Anam akhirnya pulang sebagai ratu pentas ke tanah kelahirannya menerusi konsert solo mega pertama, ‘Aku Stacy (Menggegar Kota U)’ yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) malam tadi. Hampir 3,000 peminat hadir menyaksikan persembahan luar biasa yang berlangsung hampir tiga jam penuh tenaga, emosi dan kejutan.

Dibuka dengan ‘Pakai Buang’ dalam gaya fesyen ranggi, Stacy membakar pentas dengan lagu-lagu hits seperti ‘Cakap Ke Tangan’, ‘Not For Sale’, ‘Gilalah’, ‘Kisah Dongeng’ dan ‘Menyala’. Aksi ‘terbang’ ketika lagu ‘Khayal’ dan babak penuh budaya menerusi ‘Asmaradana’ menjadikan malam itu bagaikan magis.

Segmen duet bersama suami tersayang, Akim Ahmad, tambah manis apabila mereka menyanyikan lagu cinta seperti ‘Aku, Kau & Muzik’ serta ‘Ritma & Rima’. Akim juga tampil solo dengan ‘Rampas’, memikat dengan vokal bertenaga. Turut menyerikan malam Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal, Dabra Sia dan Atu Zero dengan persembahan dan jenaka spontan yang mencuit hati.

Dengan 10 busana berbeza sepanjang konsert, Stacy mencipta rekod sebagai artis Malaysia pertama menukar kostum sebanyak itu dalam satu malam bukti kerja keras tiga bulan yang berbaloi. “Saya puas hati… ini benar-benar konsert yang saya impikan sejak dulu,” luah Stacy, yang turut sebak mengingati arwah abangnya, Chaq individu yang membawanya ke dunia seni.

Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile, konsert ini bukan sekadar hiburan ia adalah lambang cinta Stacy terhadap Sabah dan muziknya. Dan kini, peminat di Semenanjung pula bakal digegarkan. Stacy beri bayangan: “Kalau Sabah boleh, KL pun boleh!” – Tehtariktimes