Minggu ketiga program realiti muzik popular, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), sekali lagi memukau penonton dengan pelbagai kejutan luar biasa. Sorotan utama minggu ini adalah peluang eksklusif untuk Jimi, pemenang gelaran peserta terpaling ‘FIZZ’ minggu lalu, berduet bersama Aina Abdul, penyanyi berbakat besar yang telah merangkul anugerah Vokal Terbaik AJL selama tiga tahun berturut-turut.
Kolaborasi ini bukan sekadar peluang istimewa buat Jimi, tetapi turut mencipta magis di pentas apabila gabungan vokal mereka berjaya memukau penonton dan juri. Persembahan penuh emosi dan harmoni ini mendapat pujian tinggi daripada Cakra Khan, yang berkata, “Suara kalian blended really well. Malam ini, kalian tampil dengan begitu memukau.” Jimi pula berkongsi pengalamannya bekerja dengan Aina, menyifatkan latihan sebagai pengalaman yang lancar dan inspiratif. Menurut Jimi, Aina sering mengingatkannya untuk menikmati setiap detik di pentas dan menghayati persembahan sepenuh hati.
Tidak hanya itu, minggu ini turut menyaksikan aksi pembukaan yang bertenaga oleh kumpulan terkenal Ruffedge, persembahan penutup penuh emosi oleh Ernie Zakri, dan tentunya duet memukau antara Aina Abdul dan Jimi. Episod kali ini juga trending di platform ‘X’ untuk tiga minggu berturut-turut, membuktikan sambutan hangat terhadap rancangan ini.
![](https://tehtariktimes.com/wp-content/uploads/2025/01/20250105_OIAM02184-1024x683.jpg)
Namun, minggu ketiga turut menyaksikan dua peserta, Hafiz Zainal dan Dayangku Iffah, terpaksa meninggalkan pentas selepas saingan sengit bersama peserta lain. Walaupun persembahan mereka mendapat komen positif daripada juri, undian tidak memihak kepada mereka. Kedua-duanya tetap menunjukkan dedikasi tinggi dan bakat luar biasa yang patut dipuji.
Sementara itu, Marygrace dinobatkan sebagai peserta terpaling ‘FIZZ’ minggu ini berkat persembahan luar biasanya dengan lagu Memori Tercipta. Kemenangan ini melayakkan Marygrace untuk berkolaborasi dengan legenda muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip, dalam tugasan minggu hadapan. Gabungan ini dijangka mencipta dimensi baharu dan menjadi momen yang paling dinanti-nantikan penonton.
Cabaran minggu hadapan bertemakan “Sinergi Muzik” akan menyaksikan baki 8 peserta — Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, dan Eylia Guntabid — berentap dengan kreativiti dan keunikan masing-masing. Persaingan semakin sengit dengan 40% keputusan ditentukan oleh undian penonton, manakala baki 60% di tangan juri profesional.
Saksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3 setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim secara HD di Tonton. Jangan lupa, penonton bertuah juga berpeluang memenangi hadiah utama berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000! Selain itu, dapatkan sorotan eksklusif pengalaman peserta melalui Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam.
Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk terus bersama kami dalam perjalanan mencipta fenomena luar biasa ini!