AIM24 Perkenal Anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim & Kepentingan ISRC dalam Industri Muzik

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung kategori anugerah ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ di Anugerah Industri Muzik 2024 (AIM24). RIM menjelaskan bahawa pemenang bagi kategori ini ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman rasmi yang dibekalkan oleh penyedia data pihak ketiga, menggunakan proses automatik tanpa campur tangan manual.

Dalam isu yang dibangkitkan, lagu “Old Love” nyanyian Yuji dan Putri Dahlia tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, iaitu carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia. Hal ini berpunca daripada isu teknikal berkaitan pendaftaran kod ISRC (International Standard Recording Code) lagu tersebut.

ISRC berfungsi sebagai pengenal pasti unik dan kekal untuk setiap rakaman bunyi atau video muzik, bertindak seperti “cap jari digital” yang membolehkan jualan, penstriman dan royalti dijejaki secara tepat di seluruh dunia. Untuk sesebuah lagu dikenal pasti sebagai keluaran tempatan Malaysia dalam Carta Domestik RIM, kod ISRC mestilah bermula dengan awalan negara “MY”. Kod ini memastikan sistem automatik mengklasifikasikan rakaman berkenaan sebagai sebahagian daripada hasil rakaman tempatan.

Namun, dalam kes “Old Love”, lagu tersebut didaftarkan menggunakan tiga ISRC berbeza dengan awalan luar negara seperti SE, TL dan QZ, dan bukannya MY. Akibatnya, sistem tidak dapat mengenal pasti lagu tersebut sebagai rakaman tempatan Malaysia dan ia tidak dimasukkan ke dalam Carta Domestik RIM. Keadaan ini menerangkan mengapa lagu tersebut, meskipun meraih jumlah strim yang tinggi, tidak diambil kira dalam kategori AIM24 ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ yang berpandukan carta rasmi berkenaan.

Sehubungan itu, RIM menekankan pentingnya semua rakaman muzik yang diterbitkan di Malaysia mendaftar ISRC melalui RIM dengan menggunakan awalan negara “MY”. Langkah ini amat penting bagi memastikan artis dan penerbit tempatan mendapat pengiktirafan sewajarnya dalam carta rasmi industri muzik dan juga dalam penilaian anugerah muzik.

RIM turut menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri, termasuk label rakaman, pengedar serta artis bebas untuk bekerjasama rapat dalam memastikan pendaftaran ISRC dijalankan secara tepat. Usaha ini akan mengelakkan isu teknikal seumpama ini berulang pada masa hadapan, di samping memperkukuh kedudukan muzik tempatan agar terus menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.