Afiza Asram Arah Teater Kompilasi ‘Kerana Percayakan Siti’ – 2024

teater

Sebuah rumah produksi tempatan, Storyteller Production yang terkenal dengan kreativiti dalam penghasilan kandungan untuk platform digital dan TV, akan mempersembahkan pementasan teater kompilasi yang sangat dinantikan, “Kerana Percayakan Siti”. Pementasan ini dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2024 di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya.

Barisan pelakon yang akan memeriahkan pentas ini adalah nama-nama besar dalam industri teater dan hiburan tempatan: Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Shariah Sofia, Firdaus Karim, Swarna Naidu, dan Anwar Rusdini. Kesemua mereka, yang dikenali melalui bakat dan dedikasi mereka dalam bidang lakonan, kini kembali ke pentas yang menjadi saksi awal perjalanan seni mereka. Pementasan ini bagaikan sebuah reuni yang membolehkan mereka “pulang kampung” ke dunia teater yang telah memulakan kerjaya mereka.

Teater kompilasi “Kerana Percayakan Siti” adalah hasil karya pengarah muda berbakat, Afiza Asram, yang telah mencipta nama dengan filem hit “Sa-Balik Baju” yang menduduki tangga pertama selama empat minggu berturut-turut di Netflix. Afiza, seorang lepasan Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater, juga telah menulis dan mengarah beberapa drama terkenal termasuk “Kau vs Aku” dan “Ke Kodiang With Love” untuk saluran Astro Gempak.

Pementasan ini menggabungkan tiga cerita menarik: “Perempuan Perang”, “Terang Malam”, dan “Sa-Balik Baju”. “Perempuan Perang”, yang pertama kali dipentaskan pada tahun 2016 dan pernah mewakili Malaysia dalam “Program Teater 3 Negara” di Pahang pada tahun 2017, menceritakan kisah Laila yang berdepan dengan krisis selepas suaminya, Ibrahim, ditangkap atas tuduhan sodomi. Dalam pementasan kali ini, Sharifah Sofia akan menghidupkan watak Laila, bersama D’Boy Hamdan sebagai Ibrahim dan Firdaus Karim sebagai Mukhtar.

“Terang Malam” akan dibawakan oleh Nadia Brian dan Anwar Rusdini, manakala “Sa-Balik Baju” akan dipentaskan oleh Farah Ahmad dan Swarna Naidu. Setiap cerita menawarkan pengalaman teater yang unik dan penuh emosi, menjanjikan satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan oleh penonton.

Menurut Penerbit Eksekutif Storyteller Production, Azuwan Ahmad, mereka berbesar hati dengan penyertaan pelakon-pelakon hebat ini dan percaya bahawa pemilihan mereka adalah tepat berdasarkan karakter dan cerita yang dibawakan. Azuwan juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atas sokongan melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024, yang telah membantu merealisasikan pementasan ini.

Tiket-tiket untuk pementasan “Kerana Percayakan Siti” masih boleh diperolehi melalui laman web www.cloudjoi.com pada harga serendah RM 60 hingga RM 100. Segala pertanyaan boleh diajukan di nombor 011-28536571 (Ahmad) dan segala maklumat terkini boleh dilayari di laman Instagram storyteller_my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *