Afgan Kembali Ke Malaysia Dengan “Retrospektif Showcase” Sarat Emosi Dan Nostalgia

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi showcase istimewa berjudul Afgan Retrospektif Showcase, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Showcase ini bertepatan dengan pelancaran album terbaharunya yang turut diberi judul Retrospektif. Menurut Afgan, judul tersebut dipilih kerana ia mencerminkan perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya bahan pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik. Album baharu ini benar-benar mewakili idea itu. Saya melihat kembali perjalanan hidup saya beberapa bulan terakhir, belajar daripada peningkatan yang terjadi, dan akhirnya lahirlah album ini,” jelasnya.

Album Retrospektif membawa nilai sentimental buat penyanyi berusia 36 tahun itu kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama yang dilancarkannya selepas tujuh tahun. “Album ini ibaratnya saya kembali ke genre yang telah membesarkan nama saya, iaitu Indonesian Pop. Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini. Jadi, Retrospektif terasa sangat tepat sebagai judul dan sebagai sebuah titik balik dalam kerjaya saya,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan menyifatkan Kuala Lumpur sebagai rumah keduanya. “Selain di Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya ingin mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini. Itu sebabnya saya mahu mengadakan showcase di Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu baharu secara langsung buat pertama kali di sini,” katanya.

Afgan turut menjelaskan pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan kerana sesuai dengan konsep muzik yang ingin diketengahkan. “Kali ini saya ingin suasana yang lebih kasual dan intim. Muzik dalam album ini lebih organik dan raw, jadi saya rasa Zepp adalah tempat yang sangat tepat untuk menghadirkan pengalaman muzik itu secara jujur dan dekat dengan peminat,” katanya.

Menerusi showcase tersebut, Afgan bakal mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif dengan susunan muzik asal agar peminat Malaysia dapat menikmati pengalaman pertama mendengarnya secara langsung, selain rangkaian lagu popularnya yang lain. “Insya-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik. Saya mahu setiap lagu ini memberi makna dan memori tersendiri kepada peminat di Malaysia kerana ia adalah kali pertama mereka mendengar karya ini secara langsung. Saya sangat menghargai bahawa perjalanan muzik saya telah menjadi sebahagian daripada kisah hidup peminat di sini, sama ada di saat bahagia atau saat sedih. Apa yang paling berharga adalah ketika lagu-lagu saya mampu memberi kekuatan untuk peminat menghadapi kehidupan dengan penuh optimis dan positif. Itu adalah penghargaan terbesar buat saya,” katanya.

Penganjur Retrospektif Showcase Afgan, iaitu Renjana Idea, turut menyatakan rasa bangga dapat membawa Afgan kembali ke pentas Malaysia. “Showcase Afgan Retrospektif ini sangat istimewa kerana ia bukan sekadar persembahan, tetapi juga sebuah refleksi perjalanan seni Afgan yang dekat di hati peminatnya. Kami yakin konsert ini akan memberi pengalaman yang penuh emosi dan bermakna, terutama buat peminat setia di Malaysia,” kata wakil Renjana Idea.

Tiket Afgan Retrospektif Showcase telah mula dijual pada 1 Oktober lalu melalui GoLive Asia dengan harga RM1,398 (VIP Box), RM798 (Premium Seat), RM698 (Normal Seat), RM398 (VIP Standing) dan RM358 (General Standing). Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh melayari laman sosial rasmi Renjana Idea atau mengikuti perkembangan terkini melalui platform media sosial penganjur.